
123 PROGRAM ‘HIDUPKAN’ WRUR SUNGAI RAMBAI
SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Sebanyak 123 program dan acara yang disusun sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai yang telah bermula pada 3 hingga 11 Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis berkata, pengisian itu menghimpunkan pelbagai program termasuk acara besar iaitu Festival D’ Bendang yang menjadi acara ikonik setiap tahun.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, turut diadakan sebuah festival baharu iaitu Hello Komoditi 2026 yang mendapat sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Selain itu pelbagai program diadakan yang memberi fokus kepada sektor pertanian memandangkan 45 peratus daripada penduduk di sini merupakan petani dan pekebun, selain kita mahu mengangkat DUN ini sebagai hab pertanian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hello Komoditi 2026 Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Mengulas mengenai aduan rakyat, Siti Faizah berkata, beliau telah meminta semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Sungai Rambai untuk menyenaraikan setiap aduan yang belum diselesaikan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Di Sungai Rambai kita menggunakan sistem ‘report card’ untuk semua JPKK bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan penduduk direkodkan dan diselaraskan sepanjang WRUR DUN Sungai Rambai.
“Memang tidak semua isu dapat diselesaikan segera namun kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi terlibat dapat memastikan isu yang diadukan diberikan perhatian serta penyelesaian mengikut keutamaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


