
JALAN LADANG 5KM BERI MANFAAT BESAR BUAT 200 PEKEBUN KECIL
SUNGAI RAMBAI 5 Julai – Usaha Kerajaan Negeri membela kebajikan dan keperluan komuniti peladang serta pekebun kecil di Sungai Rambai berjaya direalisasikan apabila sebuah jalan ladang pekebun kecil sejauh 5 kilometer bakal dibina tidak lama lagi.
Ia selepas Kementerian Perladangan dan Komoditi telah meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi pembinaan jalan ladang itu di Ladang Lembah Kesang, Mukim Semujuk.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha berterusan diambil kepimpinannya memandangkan hampir 45 peratus penduduk Sungai Rambai terdiri daripada peladang dan pekebun kecil yang menjadi antara pemacu utama ekonomi kawasan berkenaan.
“Berita gembira ini bakal memberi manfaat secara langsung kepada lebih 200 pekebun kecil dengan menyediakan laluan yang lebih selesa dan efisien untuk pengangkutan hasil pertanian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Hello Komoditi 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Mewakili Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Zaki Aman; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan ladang merupakan antara komponen penting dalam memperkukuh sektor pertanian dan perladangan, selain membantu meningkatkan daya saing pekebun kecil.
“Mungkin bagi sesetengah orang, ia hanyalah sebuah jalan. Tetapi bagi pekebun kecil, jalan inilah yang mempercepatkan hasil sampai ke pasaran, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pergerakan mereka,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


