Sorting by

×

JELAJAH KETUA MENTERI BUAT RAKYAT RASA DIHARGAI

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SUNGAI RAMBAI 6 Julai – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menyambut baik pelaksanaan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disifatkan sebagai platform berkesan dalam merapatkan hubungan antara rakyat dan kepimpinan negeri.

Program yang membuka tirai di DUN Sungai Rambai itu memberi peluang kepada rakyat bersemuka secara langsung dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi menyuarakan pandangan, aduan serta cadangan berkaitan pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Bagi penduduk Parit Sidang Seman, Muhamad Fikri Husin, 28, pendekatan turun padang yang dilaksanakan Kerajaan Negeri membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri untuk mendengar sendiri suara rakyat.

Katanya, program itu bukan sahaja memudahkan rakyat menyampaikan aduan, malah membuka peluang kepada golongan muda untuk lebih memahami peranan serta hala tuju pembangunan negeri.

“Saya rasa program ini sangat baik kerana kita dapat berjumpa terus dengan Ketua Menteri. Ia juga membuka ruang kepada anak muda untuk mengenali pemimpin negeri dengan lebih dekat.

“Saya juga berasa terharu apabila Sungai Rambai dipilih sebagai lokasi pertama Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat kerana ia menunjukkan kawasan paling selatan Negeri Melaka ini turut diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Paya Buloh, K. Kalaiselvam, 53, berkata, pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Menurutnya, pelbagai inisiatif serta bantuan yang disalurkan menerusi program berkenaan memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kemudahan awam dan kesejahteraan hidup.

“Pada pandangan saya, memang sangat baik apabila Ketua Menteri sendiri turun padang bertemu rakyat. Ini menunjukkan kepimpinan hari ini benar-benar prihatin terhadap semua komuniti.

“Program seperti ini membuatkan rakyat berasa lebih dekat dengan kerajaan kerana mereka dapat menyampaikan sendiri pandangan dan keperluan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Nada sama turut disuarakan nelayan Sebatu, Mohd Ghazali Mohd Nafis, 58, yang menyifatkan program berkenaan sebagai medium terbaik untuk rakyat menyuarakan isu yang dihadapi secara terus kepada kepimpinan negeri.

Katanya, kehadiran Ketua Menteri yang mendengar sendiri suara rakyat memberikan keyakinan bahawa setiap permasalahan yang dibangkitkan akan diberikan perhatian sewajarnya.

“Alhamdulillah, apabila melihat Ketua Menteri turun sendiri dan mendengar sendiri suara rakyat di kawasan ini, ia membuatkan rakyat lebih yakin kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post RM128.4 JUTA PACU KESEJAHTERAAN ORANG SUNGAI RAMBAI
Next post ORANG SERKAM PUJI DASAR MESRA RAKYAT KETUA MENTERI