
RM128.4 JUTA PACU KESEJAHTERAAN ORANG SUNGAI RAMBAI
SUNGAI RAMBAI 6 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menerima peruntukan melebihi RM128.4 juta menerusi pelbagai projek pembangunan, infrastruktur dan bantuan kebajikan sepanjang tempoh lima tahun iaitu sejak 2021 hingga kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd. Aziz berkata, jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan kawasan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM104.39 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur yang melibatkan lebih 20 agensi kerajaan di kawasan DUN berkenaan.
“Peruntukan ini melibatkan pelbagai projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk penambahbaikan infrastruktur, kemudahan awam serta pelaksanaan program pembangunan komuniti.
“Ia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di Sungai Rambai menikmati pembangunan yang seimbang dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hello Komoditi 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Padang Kampung Seri Mendapat, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Zaki Aman yang mewakili Ketua Pengarah MPOB; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta kenamaan lain.
Siti Faizah berkata, dalam tempoh yang sama, bantuan kebajikan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM22.28 juta telah disalurkan kepada 951 penerima di kawasan itu.
Selain itu, katanya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menyalurkan bantuan berjumlah RM1.73 juta kepada 279 penerima bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, pelaksanaan WRUR DUN Sungai Rambai turut memberi impak positif dalam mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui kerjasama pelbagai agensi secara bersepadu.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membolehkan isu setempat diselesaikan dengan lebih pantas, malah memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat dapat diselaras serta diberikan perhatian sewajarnya.
“WRUR menghimpunkan pelbagai program merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan, sukan dan pembangunan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Melalui kerjasama semua pihak, kita mahu memastikan setiap inisiatif yang dirancang benar-benar sampai kepada rakyat dan memberi impak positif kepada kesejahteraan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


