Sorting by

×

JELAJAH KETUA MENTERI BAWA MAKNA BESAR BUAT KELAS AL-QURAN SUNGAI RAMBAI

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SUNGAI RAMBAI 6 Julai – Rumah Ngaji di bawah Kariah Masjid As-Syakirin, Pekan Sungai Rambai menerima sumbangan menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang memberi manfaat kepada pengurusan serta peserta kelas pengajian al-Quran di kawasan berkenaan.

Pengerusi Masjid As-Syakirin Roslan Khalid berkata, sumbangan itu melibatkan bantuan kewangan kepada lapan kelas pengajian al-Quran di bawah Rumah Ngaji berkenaan, dengan setiap kelas menerima RM500 bagi menyokong aktiviti pembelajaran dan pengurusan.

Menurut beliau, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menyumbang kerusi dan meja bernilai RM1,500 bagi menambah baik kemudahan pembelajaran serta memberikan keselesaan kepada para peserta.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan. Bantuan ini amat bermakna kerana dapat menambah baik kemudahan sedia ada serta memberi keselesaan kepada peserta Rumah Ngaji di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menerima kunjungan Ketua Menteri pada Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Rumah Ngaji Parit Putat, di sini, semalam.

Roslan berkata, Rumah Ngaji berkenaan kini menjadi pusat pembelajaran al-Quran yang aktif dalam komuniti setempat dengan penyertaan lebih 50 peserta yang mengikuti kelas secara berkala.

Menurutnya, majoriti peserta terdiri daripada wanita berusia 45 tahun ke atas, termasuk suri rumah dan ibu tunggal yang berhasrat memperbaiki serta meningkatkan kemahiran membaca al-Quran.

“Program ini sebenarnya telah berjalan sejak 15 hingga 20 tahun lalu, namun kini kita memperkukuh pelaksanaannya dengan bantuan guru-guru mengaji yang dilantik untuk membimbing para peserta.

“Ramai dalam kalangan peserta yang sebelum ini kurang yakin membaca al-Quran, tetapi kini semakin bersemangat untuk belajar dan memperbaiki bacaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama Rumah Ngaji adalah memberi penekanan kepada aspek tajwid, kelancaran bacaan dan hafazan al-Quran supaya peserta dapat membaca kitab suci itu dengan lebih baik serta tepat mengikut hukum yang ditetapkan.

Ujarnya, sumbangan yang diterima menerusi program berkenaan diharap dapat membantu memperkasakan lagi aktiviti pengajian al-Quran dan menyemarakkan usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post PELABUHAN DARAT PACU PERTUMBUHAN EKONOMI, PEKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB LOGISTIK
Next post PELABUHAN DARAT MELAKA WUJUD LEBIH 500 PELUANG PEKERJAAN