Sorting by

×

PELABUHAN DARAT PACU PERTUMBUHAN EKONOMI, PEKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB LOGISTIK

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

GADEK 6 Julai – Projek Melaka Inland Port atau Pembangunan Pelabuhan Darat Melaka (MIP) bernilai RM300 juta bakal menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu juga dijangka mencapai Nilai Pelaburan Kasar (GDV) sebanyak RM540 juta apabila siap kelak, sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab logistik serta perindustrian utama rantau ini.

Katanya, projek yang meliputi kawasan seluas hampir 53 hektar itu juga adalah sebahagian daripada pembangunan MCORP Hi-Tech Park seluas 2,023 hektar yang direka bagi menyokong sektor pembuatan bernilai tinggi serta industri berteknologi maju.

“Setelah mula beroperasi, MIP dijangka mampu mengendalikan jumlah kontena lebih 300,000  unit bersamaan 20 kaki (TEU) setiap tahun selain menjana hasil tahunan dianggarkan sebanyak RM120 juta.

“Terletak bersebelahan Stesen Kereta Api Pulau Sebang serta berada di lokasi strategik antara Singapura dan Pelabuhan Klang, MIP berada pada kedudukan yang amat sesuai untuk muncul sebagai hab logistik multimodal utama.

“Ini sekali gus menyediakan jaringan pengangkutan yang lancar serta akses lebih pantas ke pasaran serantau dan global kepada komuniti perniagaan serta industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Melaka Inland Port (MIP) yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, di Tapak Tanah Taboh Naning, Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka  Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta Pengarah Urusan Great Merchant Inland Port, Datuk Paduka Dzulfadly Abdullah.

Menurut Ketua Menteri, projek itu akan pelaksanaan dalam dua fasa yang mana fasa pertama membabitkan pembangunan kawasan seluas 28 hektar dimulakan dalam kadar segera (serta-merta).

“Fasa pertama ini dijangka siap dalam tempoh kurang daripada setahun manakala baki kira-kira 24.5 hektar lagi akan dibangunkan pada fasa berikutnya bagi memenuhi keperluan pertumbuhan masa depan serta peningkatan permintaan sektor logistik.

“Apabila siap kelak MIP akan dilengkapi antaranya hab depot kontena bersepadu yang merangkumi kawasan berstatus ‘Custom Bonded’ dan ‘Non-Bonded’, kemudahan pengendalian kontena dan operasi pengangkutan rel serta gudang penyimpanan serta pusat pengedaran.

“Selain itu juga terdapat perkhidmatan pengangkutan multimodal dan sistem logistik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang disokong oleh Railway Business System (RBS),” katanya.

Jelas Ketua Menteri, lebih penting, projek ini mencerminkan keyakinan terhadap masa depan Melaka serta komitmen Kerajaan Negeri dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan manfaat kepada generasi akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post SANGGUP TEMPUH PERJALANAN 5 JAM DEMI DURIAN PREMIUM MELAKA
Next post JELAJAH KETUA MENTERI BAWA MAKNA BESAR BUAT KELAS AL-QURAN SUNGAI RAMBAI