
SANGGUP TEMPUH PERJALANAN 5 JAM DEMI DURIAN PREMIUM MELAKA
ASAHAN 6 Julai – Demi menikmati bufet durian premium Black Thorn dan Musang King pada harga murah, sebuah keluarga sanggup menempuh perjalanan hampir lima jam dari Ipoh, Perak ke Melaka untuk menyertai Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026.
Pengunjung, Raihan Raihana Rahmad, 36, berkata, dia bersama ahli keluarga membuat keputusan untuk datang ke Melaka sebaik mengetahui mengenai promosi bufet durian premium yang ditawarkan pada harga istimewa.
Menurutnya, peluang menikmati durian premium yang lazimnya dijual pada harga lebih mahal tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, apatah lagi festival itu turut menawarkan pengalaman menikmati durian dalam suasana santai di lokasi yang sangat menarik.
“Memang kami datang ke Melaka semata-mata untuk menikmati durian. Apabila melihat promosi Black Thorn dan Musang King pada harga yang sangat berpatutan, kami terus merancang perjalanan ke sini.
“Ternyata ia tidak mengecewakan. Bukan sahaja dapat makan durian sepuas hati, malah suasana festival ini sangat meriah dan menyeronokkan. Jarang dapat melihat orang ramai menikmati durian bersama-sama dalam suasana seperti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Festival Durian Melaka ‘Kendurian’ 2026 di Duta Riang Villa, Selandar yang disertai ribuan pengunjung itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Raihan Raihana berkata, inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan festival berkenaan wajar dipuji kerana membuka peluang kepada orang ramai, termasuk pengunjung luar Melaka, menikmati durian premium yang kebiasaannya sukar diperoleh pada harga mampu milik.
Katanya, penganjuran festival itu bukan sahaja membantu rakyat menikmati hasil tempatan berkualiti, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang mampu menarik kehadiran pengunjung dari seluruh negara.
“Jarang ada program seperti ini yang menawarkan durian premium pada harga yang begitu rendah. Sebab itulah kami sanggup datang dari jauh untuk merasainya sendiri.
“Selain menikmati durian, kami juga berpeluang melihat sendiri kemeriahan festival ini dan bertemu Ketua Menteri Melaka yang sangat mesra dengan rakyat.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri kerana menganjurkan program yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


