
MIP JADIKAN MELAKA SEBAGAI HAB LOGISTIK STRATEGIK KORIDOR SELATAN
GADEK 6 Julai – Pembangunan Melaka Inland Port atau Pelabuhan Darat Melaka (MIP) dijangka mengubah landskap dan meletakkan Melaka sebagai hab logistik strategik di Koridor Selatan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, MIP bukan sekadar simbolik kepada permulaan sebuah projek pembangunan malah menjadi titik tolak transformasi Melaka sebagai sebuah negeri yang lebih kompetitif dalam sektor logistik serta perdagangan.
Hameed berkata, MIP adalah inisiatif strategik akan memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab logistik berdaya saing peringkat nasional dan serantau menerusi penyediaan pelbagai kemudahan lebih sistematik.
“Apa yang lebih penting lagi, projek ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya bagi pergerakan kontena, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas selain meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan kos logistik dalam jangka masa panjang.
“Pembangunan MIP ini sebagai satu projek strategik yang melengkapkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sistem pengangkutan dan jaringan logistik yang lebih bersepadu.
“Malah dalam masa yang sama, projek ini juga diyakini mampu mengukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai pintu masuk perdagangan dan hab logistik strategik di Koridor Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Melaka Inland Port (MIP) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Tapak Tanah Taboh Naning, Alor Gajah, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta Pengarah Urusan Great Merchant Inland Port, Datuk Paduka Dzulfadly Abdullah.
Menurut Hameed, projek itu turut meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan perindustrian, pelabuhan, rangkaian rel dan lebuh raya utama yang mana akan mewujudkan ekosistem logistik lebih cekap, berdaya saing serta mampan.
“MIP juga akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan rantaian bekalan, mempercepatkan pergerakan barangan serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan secara keseluruhannya.
“Saya yakin pembangunan pelabuhan darat ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Melaka melalui peningkatan daya saing ekonomi, kemasukan lebih banyak pelaburan domestik dan asing, pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta perkembangan industri logistik termasuk perkhidmatan sokongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


