
MELAKA SASAR LEBIH 38,440 UNIT RUMAH MAMPU MILIK
SERI NEGERI 7 Julai – Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda perumahan rakyat dengan menyasarkan pembinaan lebih 38,440 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh Melaka bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehingga kini sebanyak 23,514 unit RMM telah berjaya direalisasikan menerusi pelbagai projek pembangunan perumahan yang dilaksanakan di negeri ini.
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses rakyat kepada kediaman yang berkualiti, selesa dan mampu dimiliki.
“Sehingga kini, sebanyak 23,514 unit RMM telah berjaya direalisasikan di Melaka.
“Berteraskan prinsip Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan pencapaian ini kepada lebih 38,440 unit pada masa hadapan agar impian memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan kepada lebih ramai rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik antara Lembaga Perumahan Melaka dan Skywiz Realty Sdn. Bhd. di Bilik Tun Bijasura, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Murad Husin serta Pengarah Skywiz Realty Sdn. Bhd., Chong Kah Khen dan Clement Lau Wei Kiat.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pemilikan rumah bukan sahaja memenuhi keperluan asas kehidupan, malah menjadi faktor penting dalam membina kestabilan institusi keluarga, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menyokong pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak pemaju bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek perumahan mampu milik, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati peluang memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti.
“Saya percaya dengan komitmen serta kerjasama erat semua pihak, lebih banyak projek rumah mampu milik dapat direalisasikan pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


