
RUMAH KOS RENDAH, MAMPU MILIK DIBINA DI DURIAN TUNGGAL
SERI NEGERI 7 Julai – Sebanyak 903 unit kediaman akan dibangunkan di atas tanah seluas 26.5 hektar di Mukim Durian Tunggal menerusi projek pembangunan yang dijangka siap dalam dalam tempoh tiga tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek pembangunan oleh Skywiz Realty Sdn Bhd itu direalisasi menerusi pemeteraian bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Katanya, daripada keseluruhan komponen Rumah Mampu Milik (RMM) itu, sebanyak 61 unit adalah Rumah Kos Rendah, 54 unit Rumah Kos Sederhana Rendah, 200 unit RMM Jenis A dan 138 unit RMM Jenis B, manakala baki 450 unit adalah merupakan rumah terbuka (open market).
“Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan setiap komitmen yang dipersetujui dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan.
“Pemaju dikehendaki memulakan kerja pembangunan dalam tempoh 90 hari selepas Borang B dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Manakala setiap fasa projek perlu disiapkan dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh perjanjian jual beli pertama,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM Antara LPM dan Skywiz Realty Sdn Bhd di Bilik Tun Bijasura, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin dan Pengarah Skywiz Realty Sdn Bhd Chong Kah Khen dan Clement Lau Wei Kiat serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, projek berkenaan turut memberikan pulangan sebanyak RM2.375 juta kepada LPM, di mana daripada jumlah itu fi komitmen sebanyak RM100,000 telah dijelaskan 28 April lalu.
“Manakala baki RM2.275 juta akan dibayar dalam dua peringkat termasuk RM1.137 juta pada majlis pemeteraian perjanjian dan baki RM1.137 juta dalam tempoh tiga bulan selepas pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi unit Rumah Kos Sederhana Rendah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


