Sorting by

×

MPHTJ ANJUR DUA PROGRAM KOMUNITI TANGANI DENGGI DAN HAIWAN TERBIAR

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BEMBAN 7 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan melaksanakan dua program komuniti membabitkan Kempen Pencegahan Denggi dan Program Pengurusan Haiwan Terbiar pada 27 dan 28 Jun ini.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, Kempen Pencegahan Denggi pada 27 Jun itu akan diadakan di beberapa taman perumahan dalam kawasan pentadbiran MPHTJ.

Katanya, manakala pada 28 Jun pula bagi Program Pengurusan Haiwan Terbiar akan diadakan di Dewan Komuniti Bukit Beruang.

“Kedua-dua program anjuran MPHTJ ini adalah hasil sumbangan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bernilai RM20,000.

“Peruntukan itu dimanfaatkan bagi menjayakan inisiatif yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan awam, kebersihan persekitaran serta kesejahteraan komuniti di kawasan pentadbiran MPHTJ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan MPHTJ di Taman Rekreasi Anjung Gapam di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, program pertama Kempen Pencegahan Denggi yang dijadual berlangsung pada 27 Jun itu akan melibatkan pelbagai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, longkang dan semak samun yang dikenal pasti berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

Jelasnya, kempen itu turut melibatkan kerjasama penduduk setempat, agensi berkaitan dan kakitangan MPHTJ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan kediaman serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk yang boleh mengundang penularan wabak denggi.

“Usaha ini bukan sekadar membersihkan kawasan persekitaran, malah bertujuan menyemai sikap bertanggungjawab dalam kalangan penduduk agar sentiasa peka terhadap kebersihan dan keselamatan kawasan kediaman masing-masing

“Pada 28 Jun pula MPHTJ akan menganjurkan Program Pengurusan Haiwan Terbiar di Dewan Bukit Beruang yang memberi tumpuan kepada usaha menangkap, memandulkan dan menghantar haiwan terbiar seperti kucing dan anjing ke pusat perlindungan haiwan di Jasin.

“Pendekatan itu dilaksanakan secara berhemah dan sistematik bagi mengawal populasi haiwan terbiar, sekali gus mengurangkan risiko gangguan kepada penduduk serta memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

473
Kongsi :
Previous post SUKAN MELAKA 2026 PENTAS GILAP PERMATA SUKAN NEGERI
Next post RUMAH KOS RENDAH, MAMPU MILIK DIBINA DI DURIAN TUNGGAL