
ANAK MELAKA BERASAL DARIPADA LELUHUR YANG HEBAT – TOK RAUF
MERLIMAU 17 Julai – Setiap anak Melaka perlu berbangga dengan sejarah bumi bertuah ini yang pernah menjadi pusat perdagangan tumpuan dunia pada suatu ketika dahulu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, namun sayangnya sejarah kegemilangan sejarah Melaka termasuk legenda Hang Tuah dibengkokkan oleh penjajah.
“Kita sebenarnya datang daripada leluhur yang hebat, tiada bangsa yang hebat kecuali sejarahnya kuat dan anak-anak sebenarnya adalah pewaris sejarah yang hebat. Sebab itu saya laungkan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ agar semua bangga dengan sejarah kita.
“Hasil kajian dilakukan, Hang Tuah terbukti ada di China, India, Turkiye dan Rom, selain itu banyak artifak berkaitan Hang Tuah ditemui di luar negara termasuk Belanda.
“Semua artifak ini akan dibawa pulang ke Melaka untuk tatapan generasi akan datang,” kata Ketua Menteri ketika berucap selepas menyempurnakan perasmian lukisan mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan Warisan dan Pelancongan negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Pengerusi Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Yang turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Pengetua SMK Tun Syed Zahiruddin Elly Darliza Bakar.
Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta sumbangan pembelajaran harian untuk 26 pelajar.
Ab Rauf berkata mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ pada dinding sekolah di negeri ini adalah lambang kebanggan orang Melaka yang sebenarnya memiliki sejarah yang kuat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


