TOK RAUF UMUM RM500,000 BINA JALAN BAHARU ‘KAMPUNG KEMBOJA’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Penduduk Kampung Bukit Datuk B atau lebih dikenali sebagai Kampung Kemboja bakal menikmati jalan baharu apabila Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf laluan utama di kampung itu yang sekian lama mengalami kerosakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan sebaik sahaja proses pelantikan kontraktor selesai bagi memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat.

“Kita akan bina jalan baharu ini membabitkan peruntukan sebanyak RM500,000. Insya-Allah, sebaik sahaja kontraktor dilantik, kerja-kerja pembinaan akan dan penduduk dapat menikmati jalan baharu yang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyantuni masyarakat Kampung Bukit Datuk B bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut menyerahkan surat kelulusan bina baharu rumah bernilai RM70,000 menerusi Program Melaka Rumahku kepada seorang warga emas, Ramlah Sulaiman yang sebelum ini menetap di kediaman uzur yang telah dimamah anai-anai.

Menurut Ketua Menteri, Melaka menjadi negeri pertama mengamalkan pendekatan kepimpinan turun padang secara menyeluruh apabila bukan sahaja Ketua Menteri, malah barisan Exco turut bersama-sama meninjau sendiri keperluan rakyat di setiap kawasan.

“Apabila kita turun, kita dapat melihat sendiri cara hidup masyarakat, mendengar masalah yang mereka hadapi dan terus mencari jalan penyelesaian. Itulah pendekatan yang kita amalkan supaya setiap bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Begitulah prihatinnya kepimpinan Kerajaan Negeri yang datang sendiri untuk membantu rakyat menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk Kampung Bukit Datuk B yang disifatkan berjaya mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat sejak sekian lama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post BISTARI SANTUNI, SUNTIK SEMANGAT BUAT PESAKIT DI HOSPITAL MELAKA
Next post MELAKA DIGITALKAN 11,524 PLOT KUBUR