RM150,000 LAMBANG KASIH SAYANG TOK RAUF UNTUK ORANG PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 menerusi Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disediakan bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh pembangunan pendidikan, kemasyarakatan dan kemudahan awam di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, ia merupakan sebahagian daripada ikhtiar Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada lapisan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat hasil pembangunan negeri.

“Di Paya Rumput, ikhtiar itu kita bawa terus kepada mereka yang memerlukan. Khusus menerusi Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Paya Rumput di Kompleks As-Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, RM15,000 disalurkan kepada 150 ibu tunggal dan golongan asnaf bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.

Selain itu katanya, 120 pegawai syarak dan penggali kubur turut menerima sumbangan keseluruhan RM12,000 sebagai penghargaan terhadap jasa dan khidmat mereka kepada masyarakat.

Beliau berkata, bagi memperkasakan aktiviti kemasyarakatan dan memperkukuh semangat kejiranan, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM12,000 kepada 25 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di DUN Paya Rumput.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan apabila RM11,000 disalurkan kepada 11 sekolah rendah, melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Bagi menambah baik kemudahan sukan komuniti di DUN Paya Rumput, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi pembinaan sebuah tandas di gelanggang petanque,” katanya.

Ujar beliau, selagi diberi amanah, pentadbiran beliau akan terus berdiri bersama warga Paya Rumput bagi memastikan tiada seorang pun tercicir daripada arus kemajuan negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post MELAKA DIGITALKAN 11,524 PLOT KUBUR
Next post 91,000 WARGA PAYA RUMPUT RASAI KASIH SAYANG TOK RAUF