
MANGSA BANJIR BERSYUKUR KERAJAAN NEGERI PRIHATIN
PAYA RUMPUT 28 Julai – Bantuan tunai disalurkan Kerajaan Negeri kepada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput sedikit sebanyak meringankan beban mereka menanggung kerugian akibat kelengkapan rumah terdedah kepada air susulan susulan bencana berlaku baru-baru ini.
Penerima sumbangan bencana banjir, Nur Anis Balqis Abu Bakar, 27, berkata, banyak barangan miliknya rosak selepas rumah sewanya dimasuki air.
Katanya, bantuan wang tunai diterima daripada Kerajaan Negeri amat bermakna kerana dapat digunakan bagi membeli barangan keperluan asas dan menggantikan perabot rosak.
“Sumbangan disalurkan Kerajaan Negeri amat membantu kerana ia sedikit sebanyak dapat ringankan beban kewangan untuk menggantikan barangan yang rosak.
“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa dekat dengan rakyat dalam apa juga keadaan. Saya amat bersyukur dan pastinya terima kasih kepada Ketua Menteri atas sumbangan disalurkan ini,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Banjir Bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, semalam.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Jabatan.
Seorang lagi penerima sumbangan, Noraida Hassan, 58, meluahkan perasaan lega dan bersyukur apabila dimaklumkan mangsa banjir akan menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri.
“Mesin basuh antara yang rosak akibat banjir baru-baru ini jadi dengan bantuan disalurkan sedikit sebanyak dapat membantu untuk membayar kos baik pulih.
“Sebagai penduduk yang terjejas saya bersyukur kerana Kerajaan Negeri terutamanya Ketua Menteri sedaya upaya cuba membantu termasuk mengumumkan pemberian tilam percuma,” katanya yang menetap di Taman Rambai Utama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


