HEBAT PAYA RUMPUT BAWA SINAR BUAT BAYI ENAM BULAN HIDAP KANSER DARAH

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Program Hari Exco Bertemu Rakyat Negeri Melaka (HEBAT) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bukan sekadar menjadi platform menerima aduan rakyat, malah turut membuka ruang bantuan segera kepada kes kebajikan yang memerlukan perhatian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, antara yang mendapat perhatiannya ialah seorang bayi berusia enam bulan yang disahkan menghidap kanser darah dan memerlukan kos rawatan hampir RM20,000.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, namun ibu bapa bayi tersebut tidak mempunyai kemampuan kewangan bagi menampung perbelanjaan perubatan anak mereka.

“Sebaik mendengar sendiri luahan keluarga tersebut saya terus menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 sebagai bantuan awal bagi meringankan beban mereka.

“Kes itu turut dipanjangkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk dipertimbangkan bagi bantuan kebajikan selain dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya keluarga tersebut menerima sokongan berterusan selepas bayi itu dibenarkan keluar dari hospital,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program HEBAT sempena WRUR DUN Paya Rumput di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Paya Rumput Perdana, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kerjasama antara agensi kerajaan, badan kebajikan dan masyarakat amat penting memandangkan masih terdapat keluarga yang berdepan kesukaran mendapatkan dana rawatan dalam tempoh singkat.

Jalinan kerjasama itu, ujar beliau penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada mereka yang memerlukan.

“Menerusi HEBAT ia adalah pendekatan Kerajaan Negeri yang bukan sekadar mendengar aduan rakyat tapi bagi memastikan setiap kes yang melibatkan kebajikan dan kesihatan diberi perhatian serta tindakan susulan secara menyeluruh melalui agensi berkaitan.

“Usaha ini selaras dengan amanat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang sentiasa menekankan agar setiap pemimpin turun padang, menyantuni rakyat dan bertindak pantas membantu golongan yang berdepan kesusahan, sekali gus memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post MAULIDUR RASUL: MAIM SASAR HIMPUN 6,000 PESERTA
Next post MELAKA RIVER CRUISE, ZOO MELAKA BERGABUNG TAWAR PAKEJ SILANG MENARIK