BEKALAN AIR TKPM MENGGONG DIJANGKA PULIH HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PAYA RUMPUT 28 Julai – Masalah kekurangan bekalan air yang menjejaskan tanaman di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Menggong, Alor Gajah dijangka dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun ini menerusi pelaksanaan kaedah abstraksi air bawah tanah.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu merupakan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan bekalan air dan pengairan dapat disalurkan secara konsisten kepada pengusaha di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, isu berkenaan dibangkitkan sendiri oleh beberapa pengusaha yang berdepan masalah kekurangan air sehingga menjejaskan tanaman dan hasil pertanian mereka.

“Hasil perbincangan bersama Jabatan Pertanian Negeri Melaka, kita mengenal pasti kaedah abstraksi air bawah tanah sebagai antara penyelesaian paling sesuai.

“Cadangan ini dianggarkan menelan kos sekitar RM10,000 dan akan dikemukakan kepada pihak berkaitan untuk pertimbangan serta kelulusan.

“Insya-Allah, kita sasarkan masalah bekalan air di TKPM Menggong dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Hari Exco Bertemu Rakyat Melaka (HEBAT) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Taman Paya Rumput Perdana, di sini, pada Isnin.

Turut bersama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, TKPM Menggong yang mula beroperasi pada 2024 kini mempunyai 11 usahawan yang mengusahakan kawasan seluas 63.01 hektar itu.

Katanya, kawasan itu melibatkan dua lot iaitu Lot 4317 yang menempatkan enam usahawan dan Lot 4195 dengan lima usahawan.

“Lot 4317 tidak berdepan masalah bekalan air, namun Lot 4195 memerlukan penyelesaian berkaitan sistem pengairan.

“Buat sementara waktu, Jabatan Pertanian mengesyorkan tanaman nanas kerana memerlukan penggunaan air yang lebih rendah berbanding tanaman lain. Ketika ini, tiga daripada lima usahawan di Lot 4195 telah mula mengusahakan tanaman nanas sebagai langkah penyesuaian sementara,” katanya.

Beliau berkata, selain nanas, TKPM Menggong turut menghasilkan pelbagai tanaman lain seperti pisang, jambu batu lohan, serai, halia, limau dan bunga kantan yang menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

649
Kongsi :
Previous post MELAKA NEGERI PERTAMA LAKSANA INISIATIF TIANG FIBER GUNA SAMA
Next post MELAKA REKOD 30,000 BEG DARAH SETAHUN