
MELAKA RIVER CRUISE JADI PRODUK PILIHAN PELANCONG LUAR
DUYONG 2 Ogos – Kesempatan pulang ke kampung sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan digunakan Mohd Azizan Roslan, B40, untuk membawa keluarganya menikmati pelayaran Melaka River Cruise pada harga promosi RM10 sempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos.
Mohd Azizan yang menetap di Tanjung Malim, Perak berkata, selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dia mengajak keluarganya ke Melaka untuk bersama-sama menikmati pengalaman menyusuri Sungai Melaka.
“Memang kebetulan saya pulang ke kampung di Negeri Sembilan untuk mengundi. Bila tahu program ini diadakan dan lokasinya tidak jauh, jadi kami terus datang Melaka.
“Harga tiket RM10 memang sangat berbaloi kerana bukan selalu dapat naik bot dengan harga seperti ini. Jadi kami ambil peluang untuk bawa seisi keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program itu di Jeti Melaka River Cruise, Pengkalan Rama, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pelayaran itu amat bermakna kerana dikongsi 14 orang daripada tiga keluarga termasuk suadaranya yang datang dari Selangor dan Perak.
Katanya, kali terakhir mereka menaiki Melaka River Cruise adalah kira-kira setahun lalu, namun pengalaman kali ini lebih bermakna kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga besar.
“Program seperti ini memang bagus kerana bukan sahaja membolehkan orang ramai menikmati produk pelancongan pada harga mampu milik, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila dapat bercuti bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


