‘SENTUHAN KASIH BERSAMA’ BAIK PULIH 5 KEDIAMAN ASNAF DUN TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TELOK MAS 2 Ogos – Lima penduduk terdiri daripada golongan asnaf dan warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dapat menarik nafas lega apabila menerima bantuan baik pulih rumah menerusi Program Sentuhan Kasih Bersama di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (Baik Pulih).

Bantuan berjumlah keseluruhan RM100,000 itu menyaksikan setiap penerima menerima peruntukan RM20,000 bagi membaik pulih kediaman masing-masing yang uzur dan kurang selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bantuan yang disampaikan bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir daripada perhatian.

Menurutnya, bantuan berkenaan disalurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) khusus kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan untuk membolehkan kediaman mereka dibaik pulih.

“Sumbangan peruntukan ini adalah di bawah MBMB dengan setiap penerima menerima RM20,000 bagi kerja-kerja baik pulih kediaman yang uzur.

“Penerima yang terpilih terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan. Kita memilih mereka kerana keadaan kediaman yang agak uzur dan memerlukan bantuan untuk dibaik pulih,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Bersama sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Permatang Pasir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Abdul Razak berkata, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) kini tidak hanya tertumpu kepada aspek kebersihan, penyelenggaraan dan pengurusan bandar, malah turut merangkumi usaha menyantuni serta membantu masyarakat yang memerlukan.

Katanya, Program Sentuhan Kasih Bersama yang dilaksanakan MBMB menjadi antara platform penting dalam membantu wakil rakyat mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang berdepan kediaman uzur dan memerlukan tindakan segera.

“Program ini banyak membantu saya sebagai wakil rakyat dalam menyantuni penduduk, terutama mereka yang memerlukan bantuan segera bagi membaiki kediaman yang uzur.

“Dengan adanya kerjasama antara Kerajaan Negeri, PBT dan agensi berkaitan, kita dapat memastikan lebih ramai rakyat mendapat pembelaan dan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post MELAKA TERBUKA BENTUK GABUNGAN ‘BN PLUS’ – AB RAUF
Next post MELAKA AMBIL ADUAN RAKYAT SEBAGAI AKU JANJI, JADI KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB