
WRUR LABUH TIRAI DI TANJUNG BIDARA, TOK RAUF ‘PULANG KE KAMPUNG’
TANJUNG BIDARA 14 September – Selepas dua tahun menjelajah 27 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Melaka, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akhirnya tiba ke DUN ke-28 dan terakhir iaitu Tanjung Bidara yang disifatkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai kepulangan ke kampung sendiri.
Ab Rauf berkata, pelaksanaan WRUR DUN Tanjung Bidara bukan sekadar menandakan penutup siri program berkenaan, sebaliknya menjadi detik cukup istimewa buat dirinya selepas bersama barisan kepimpinan dan jentera Kerajaan Negeri turun menyantuni rakyat di seluruh pelusuk Melaka.
“Bagi saya malam ini cukup istimewa. Bukan sekadar satu majlis pembukaan, tetapi menandakan kemuncak sebuah perjalanan Kerajaan Negeri dalam merakyatkan pentadbiran dan mendekatkan perkhidmatan terus ke akar umbi.
“Setelah 27 DUN kita jelajahi, ribuan rakyat kita santuni dan pelbagai permasalahan kita rungkaikan, akhirnya malam ini Wakil Rakyat Untuk Rakyat tiba ke DUN ke-28 dan merupakan DUN terakhir, iaitu Tanjung Bidara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat DUN Tanjung Bidara di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, kemeriahan dan makna WRUR Tanjung Bidara turut berbeza apabila DUN berkenaan merupakan kawasan yang menjadi tempat beliau memikul amanah sebagai wakil rakyat.
“Menjadikan malam ini lebih dekat di hati saya, setelah saya bersama barisan kepimpinan dan seluruh jentera kerajaan turun ke segenap pelosok Melaka, akhirnya saya pulang ke kampung saya sendiri.
“Inilah DUN tempat saya memikul amanah. Inilah keluarga yang sentiasa dekat di hati saya.
“Dan inilah bumi yang menyaksikan perjalanan saya bersama rakyat. Tempat saya menumpang kasih, menyulam kepercayaan dan menyempurnakan amanah,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman menjelajah seluruh DUN menerusi WRUR memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri untuk memahami isu rakyat secara lebih dekat selain memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan terus ke peringkat akar umbi.
Katanya, pendekatan berkenaan membuktikan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri bukan sekadar berfungsi dari pejabat, sebaliknya perlu turun padang untuk mendengar, memahami dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


