
WRUR TANJUNG BIDARA JADI GELANGGANG KEBERSAMAAN RAKYAT, KERAJAAN
TANJUNG BIDARA 14 September – Tanjung Bidara dijadikan ‘gelanggang kebersamaan’ rakyat dan Kerajaan Negeri Melaka sepanjang tujuh hari pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), dengan lebih 78 program disusun bagi memastikan khidmat, sentuhan dan penyelesaian dibawa terus ke akar umbi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengisian WRUR DUN Tanjung Bidara bukan sekadar bertujuan memeriahkan kawasan berkenaan, sebaliknya membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat bersama-sama Kerajaan Negeri menyuarakan keperluan, menyelesaikan masalah dan menikmati pelbagai khidmat yang disediakan.
“Mulai 13 hingga 20 September, Tanjung Bidara kita jadikan gelanggang kebersamaan rakyat dan Kerajaan. Bukan sekadar meriah dengan program, tetapi meriah dengan khidmat, sentuhan dan penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat DUN Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, lebih 78 program yang disusun merangkumi segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, pelajar, belia, warga emas, komuniti orang kurang upaya (OKU), institusi agama, persatuan sukan, peniaga serta keluarga di kampung-kampung sekitar Tanjung Bidara.
Katanya, pelbagai pengisian turut disediakan sepanjang minggu berkenaan termasuk program ceramah agama pada setiap malam dari 13 hingga 18 September di beberapa masjid dan surau terpilih.
“Pada 18 September ini, saya sendiri juga akan turun menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Tanjung Bidara dan sebelah petangnya pula kita teruskan dengan Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT).
“Orang-orang Tanjung Bidara, ingat! Kita jumpa pada 18 September ini, jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Ada masalah, datang! Ada aduan, bawa! Ada cadangan, suarakan! Ada urusan yang belum selesai, kemukakan!” katanya.
Ab Rauf berkata, pendekatan berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hubungan dengan rakyat sentiasa dekat, selain membawa perkhidmatan dan penyelesaian terus ke peringkat akar umbi.
“Minggu ini, rakyat tidak perlu mencari Kerajaan. Sebaliknya Kerajaan yang datang mencari rakyat!” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kemuncak WRUR Tanjung Bidara pada 19 September akan diserikan dengan Pesta Pantai serta Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026.
Katanya, pengisian berkenaan bakal menghidupkan suasana Tanjung Bidara menerusi aktiviti rakyat, seni dan budaya yang dapat dinikmati seluruh keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


