
KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI DIPERKASA SEBAGAI PUSAT PENYELIDIKAN
TANJUNG BIDARA 16 September – Kompleks Falak Al-Khawarizmi bakal diperluas fungsinya sebagai pusat penyelidikan ilmu falak, selain terus berperanan sebagai pusat pencerapan, pendidikan dan pelancongan di negeri ini.
Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, usaha itu penting bagi memastikan kompleks berkenaan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pencerapan, sebaliknya menjadi lokasi yang lebih menyeluruh dalam pembangunan dan pengembangan ilmu falak.
“Kita berhasrat menaik taraf dan menambah lagi fungsi Kompleks Falak kita ini, bukan sekadar cerapan tetapi sebagai pusat penyelidikan dan juga pusat pelancongan serta pendidikan dalam pembangunan ilmu falak.
“Alhamdulillah, sehingga kini kompleks ini telah menjadi tumpuan kunjungan pelajar dari seluruh Malaysia dan kita juga mempunyai kerjasama yang baik dengan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurutnya, kerjasama dengan institusi luar negara itu membuktikan kompleks berkenaan mempunyai potensi untuk diperluas peranannya sebagai lokasi pendidikan dan penyelidikan ilmu falak.
“Antaranya kita mempunyai kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi dari Indonesia yang memang akan membuat program pendidikan falak secara berjadual.
“Antaranya, Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin di Kepulauan Dumai, yang setiap tahun akan menghantar pelajar mereka berkursus sebanyak dua atau tiga kali di sini untuk mendapatkan pendedahan ilmu falak,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu turut membuka ruang untuk Kompleks Falak Al-Khawarizmi menerima lebih banyak penyertaan daripada institusi pendidikan luar negara yang berminat mendalami bidang berkenaan.
“Jadi kita mahu memperluas peranan kita ini bukan sekadar di Malaysia tetapi juga kepada institusi luar negara yang ada berminat untuk ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


