MELAKA NEGERI DIGITAL, URUSAN BAYI HINGGA WARGA EMAS LEBIH LANCAR

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

MELAKA NEGERI DIGITAL, URUSAN BAYI HINGGA WARGA EMAS LEBIH LANCAR

TANJUNG BIDARA 14 September – Kaedah pengurusan rakyat bermula bayi baru lahir hingga warga emas dan hal berkaitan pengebumian umat Islam di Melaka  menjadi lebih mudah menerusi pelaksanaan inisiatif Kampung Digital.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, isu paling besar diselesaikan menerusi inisiatif itu adalah mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dalam urusan surat-menyurat berikutan nama penerima dan alamat digunakan adalah sama.

Katanya, alamat yang lebih tersusun juga meningkatkan lagi tahap tindak balas dalam kes kecemasan yang memerlukan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau perkhidmatan ambulans.

“Dalam sebuah kampung ada lima orang yang namanya sama, memang berlaku kekeliruan hingga tersalah hantar dan lebih merisaukan surat langsung tidak sampai kepada penerima sedangkan kandungan surat adalah penting termasuk melibatkan tawaran pengajian untuk anak-anak kita.

“Jadi Kerajaan Negeri laksanakan inisiatif ini bagi mengelakkan kekeliruan itu daripada berterusan, posmen boleh hantar terus ke rumah mengikut alamat penerima, bukan lagi dilonggokkan di kedai kopi seperti berlaku sebelum ini,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikan ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Kursus Raudhatul Sakinah (Kursus Pengurusan Jenazah) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Surau Sri Tambak, Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Katanya, bagi mewujudkan sistem pengurusan tanah perkuburan yang lebih sistematik Kerajaan Negeri kini sedang melaksanakan inisitif Kubur Digital yang akan diperluaskan selepas ini.

“Semua ini bagi memudahkan waris mengenal pasti pusara ahli keluarga mereka, jika dulu panduan adalah batu nisan atau pokok tetapi apabila berganti tahun mungkin persekitaran berubah jumlah kubur pula bertambah.

“Lebih mudah apabila kita selepas ini cuma perlu imbas untuk tahu butiran kubur berkenaan, tidak ada lagi masalah tak jumpa kubur ahli keluarga,” katanya.

Selain itu katanya, ketika ini sedang berlangsung proses pendaftaran ternakan secara digital yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Melaka.

“Kerana sayangkan rakyat, tidak mahu ada yang terlibat kemalangan akibat ternakan berkeliaran kita laksanakan inisiatif ini. Selain itu sistem pengurusan ternakan khususnya lembu dan kerbau di Melaka menjadi lebih efisien,” katanya.

Melaka menyasarkan sehingga 32,000 ekor ternakan didaftarkan secara digital menerusi pemasangan ‘tagging’ dilengkapi kod respon pantas (QR) pada telinga lembu dan kerbau seluruh negeri menjelang hujung tahun ini.

Sejak dimulakan Jun lalu JPV Melaka sudah siap melaksanakan pendafaran digital atau tagging melibatkan lebih 6,000 ekor ternakan, sehubungan itu penternak diharap memanfaatkan inisiatif itu segera kerana kosnya ditanggung kerajaan hingga hujung tahun ini.

Selepas 1 Januari 2027 penternak yang mahu mendaftarkan ternakan masing-masing perlu menanggung sendiri kos berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

773
Kongsi :
Previous post KARNIVAL FALAK TARIK LEBIH 7,000 PENGUNJUNG
Next post KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI PRODUK EDUPERLANCONGAN UNIK MELAKA