PPSPM ‘HIDUPKAN’ PANTAI TANJUNG BIDARA, SEDIA AKTIVITI AIR PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Pelbagai aktiviti air percuma yang disediakan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bakal menjadi antara tarikan utama yang bakal menggegarkan Pantai Tanjung Bidara pada 18 hingga 20 September ini.

Tarikan istimewa itu disediakan bersempena kemuncak Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang diadakan bersekali dengan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk menaiki bot secara percuma, jet ski atau joyride, pertunjukan flyboard, banana boat, towable serta aktiviti layar untuk memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Antara aktiviti yang kita sediakan adalah bot percuma, jet ski, joyride, flyboard, banana boat, towable dan juga aktiviti layar. Semua ini kita buat untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati aktiviti air di Pantai Tanjung Bidara bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selain itu, kita turut membawa reruai pameran bagi memperkenalkan produk pelancongan PPSPM seperti Melaka River Cruise, Eco Cruise Tasik Chin Chin dan Eco Cruise Sungai Linggi kepada pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah sempena WRUR DUN Ayer Limau di Jeti Telok Berembang, di sini, pada Sabtu.

Shaharul Azuar berkata, acara berskala besar itu dijangka menarik kehadiran sehingga 40,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian menarik termasuklah Malam Budaya yang menghimpunkan artis popular seperti Amy Search, Charly Van Houten (bekas vokalis ST12), Haziq Rosebi, selain tarian zapin membabitkan 1,000 peserta.

Pada masa sama, ujar beliau, penganjuran berkenaan turut membuka ruang kepada penduduk dan peniaga tempatan untuk mengambil peluang menjana pendapatan menerusi pelbagai gerai jualan yang disediakan sepanjang festival.

“Sempena malam budaya yang dijadual pada Sabtu, 19 September ini, kita juga menggalakkan pengunjung hadir dengan pakaian tradisional bagi menambah lagi seri sambutan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

836
Kongsi :
Previous post PASARAN HARTA TANAH MELAKA REKOD 8,661 TRANSAKSI BERNILAI RM3.1 BILION SETAKAT SEPTEMBER
Next post HALA TUJU PEMBANGUNAN HARTA TANAH MELAKA MESTI UTAMAKAN KEMAMPUAN RAKYAT – AB RAUF