KLINIK MEDIPULIH LAHIR SUKARELAWAN BERILMU

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 15 September – Niat untuk membantu masyarakat semata-mata tidak memadai bagi seorang sukarelawan kerana mereka perlu dilengkapi ilmu, kemahiran dan kefahaman yang betul sebelum turun memberikan khidmat.

Perkara itu diberi penekanan Klinik MediPulih menerusi Program Pemerkasaan Sukarelawan yang menggabungkan pengisian kesihatan, kesihatan mental dan kepimpinan bagi memperkasa Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) supaya lebih bersedia berdepan keperluan masyarakat.

Ketua Strategi Korporat MediPulih, Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, pendekatan berkenaan penting memandangkan cabaran sukarelawan kini semakin kompleks dan tidak lagi tertumpu kepada bantuan kebajikan semata-mata.

Katanya, sukarelawan turut berdepan situasi membabitkan kesihatan fizikal, tekanan emosi, kesihatan mental, bencana serta pelbagai isu sosial ketika menjalankan tanggungjawab mereka.

“Sukarelawan perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian sebelum turun memberikan khidmat kepada masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemerkasaan Sukarelawan sempena Majlis Watikah Pelantikan BSAT 2026 yang berlangsung di Multimedia University (MMU), baru-baru ini.

Abuzar Ghifari berkata, beliau sendiri merupakan sukarelawan BSAT dan melihat program berkenaan bukan sekadar latihan, sebaliknya satu usaha membentuk sukarelawan yang memahami amanah serta tanggungjawab ketika berkhidmat kepada masyarakat.

Menurutnya, penglibatan pasukan perubatan dan kesihatan dalam program berkenaan turut membantu sukarelawan memahami keperluan menjaga kesihatan diri serta mengenal pasti keadaan yang memerlukan campur tangan profesional.

“Kita tidak mahu sukarelawan BSAT hanya hadir apabila ada program. Kita mahu mereka berkembang menjadi individu yang ada disiplin, empati, integriti dan keberanian untuk bertindak dengan betul apabila masyarakat memerlukan mereka.

“Pada masa sama, mereka juga perlu tahu bila sesuatu keadaan memerlukan bantuan profesional dan tidak mengambil tindakan di luar kemampuan mereka,” katanya.

Program berkenaan dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama BSAT dengan Klinik MediPulih bertindak sebagai pelaksana pengisian berkaitan kesihatan, kesihatan mental, kepimpinan dan pembangunan sukarelawan.

Pada program itu, Pengarah Urusan MediPulih merangkap Exco Mercy Malaysia, Dr. Zool Raimy turut berkongsi pengalaman dalam kerja kesukarelawanan dan misi kemanusiaan di Gaza sebagai pendedahan kepada peserta mengenai realiti serta cabaran yang dihadapi petugas kemanusiaan.

Turut diadakan sesi berkaitan kesihatan mental dan kefahaman terhadap kemurungan yang disampaikan Dr. Rozita Mat Zin dari Klinik MediPulih, selain pengisian kesihatan dan penjagaan pesakit oleh doktor-doktor MediPulih serta Pakar Psikiatri Hospital Melaka, Dr. Norhayati Ab Rahman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post PIDATO RUKUN NEGARA BAKAL PERKENAL KATEGORI UNTUK OKU
Next post PETAH BERTUTUR SEJAK TADIKA, AISYAH DINOBATKAN JUARA KESELURUHAN PIDATO RUKUN NEGARA 2026