
HALA TUJU PEMBANGUNAN HARTA TANAH MELAKA MESTI UTAMAKAN KEMAMPUAN RAKYAT – AB RAUF
AYER KEROH 15 September – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu melihat lebih ramai rakyat Melaka yang bukan sekadar memasang impian untuk memiliki rumah, tetapi akhirnya memegang kunci kediaman milik sendiri.
Sesuai dengan hasrat itu Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga menyasarkan kadar pemilikan rumah di Melaka meningkat kepada 88 peratus menjelang tahun 2030.
Bagi beliau itulah ukuran sebenar kejayaan sesuatu dasar perumahan dan bukan berdasarkan kepada jumlah unit rumah diluluskan atau dibina tetapi berapa ramai rakyat yang akhirnya benar-benar mampu memilikinya.
“Pembangunan harta tanah di Melaka mesti bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, keperluan perumahan dan yang paling penting mengutamakan kemampuan rakyat.
“Prinsip Kerajaan Negeri juga jelas iaitu mahu melihat Melaka membangun, namun ia mesti mempunyai arah. Atas dasar itu setiap pembangunan baharu, khususnya projek kediaman, perlu melalui semakan nilaian harga jualan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menerusi Jawatankuasa Pecah Sempadan Tanah dan Belah Bahagi Negeri Melaka,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pembekal Data NAPIC Dan Seminar What’s New Property Information System Malaysia 2.0 Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Datuk Sr. Abdul Razak Yusak serta Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Sr. Norhisham Shafie.
Katanya, ia bukan sekadar soal proses atau kelulusan tetapi Kerajaan Negeri mahu harga yang dibawa ke pasaran benar-benar munasabah, selari dengan nilai semasa dan masih berada dalam jangkauan pembeli.
“Buktinya…Alhamdulillah, berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi suku pertama tahun 2026, Melaka merekodkan harga jualan rumah paling rendah di Malaysia.
“Malah, nisbah kemampuan perumahan Melaka berada sekitar 3.27 berbanding purata nasional 4.39. Namun, pencapaian ini bukan tiket untuk kita berasa selesa, cabarannya selepas ini ialah memastikan tahap kemampuan dapat terus dipertahankan ketika pasaran, kos pembangunan dan keperluan rakyat terus berubah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


