
BULATAN SUNGAI BARU ULU, BERI MANFAAT KEPADA LEBIH 70,000 PENDUDUK
TANJUNG BIDARA 16 September – Lebih 70,000 penduduk sekitar Masjid Tanah menerima manfaat daripada pembinaan Bulatan Sungai Baru Ulu di Kampung Solok Duku, persimpangan Padang Kemunting.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kemudahan penyuraian trafik bernilai kira-kira RM685,988 itu disiapkan dalam tempoh hanya tiga bulan.
Katanya, pembinaan bulatan tersebut mampu menjimatkan sehingga 20 minit masa perjalanan berbanding penggunaan lampu isyarat sebelum ini.
βDulu orang terpaksa menunggu lebih 20 minit setiap satu pusingan traffic light ini.
βJadi dengan terbina bulatan Solok Duku ini yang dipanggil Bulatan Sungai Baru Ulu ini, memberikan faedah kepada lebih daripada 70,000 penduduk dalam sekitar Masjid Tanah yang menggunakan jalan ini untuk ke Bandar Melaka begitulah juga sebaliknya,β katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Persimpangan Tiga Kepada Bulatan di Jalan Padang Kamunting sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kemudahan itu amat membantu penduduk yang menggunakan laluan berkenaan untuk berulang-alik dari Masjid Tanah ke Bandar Melaka bagi tujuan bekerja.
Katanya, pembinaan bulatan itu turut memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya khususnya pada waktu puncak pagi dan petang.
βSaya lihat kemudahan penyuraian trafik ini yang terbaik di dalam Masjid Tanah,β katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf sempat merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang merancang dan melaksanakan pembinaan bulatan berkenaan mengikut jadual ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


