KEJAYAAN PERTAMA NUR AWADAH SELEPAS LIMA TAHUN DALAM DUNIA PIDATO

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 16 September – Tempoh persediaan singkat tidak menghalang Nur Awadah Mohamad Adli, 14, melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Sekolah Menengah Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas itu berkata, kejayaan tersebut amat bermakna selepas hampir lima tahun berkecimpung dalam pertandingan pidato sejak dari bangku sekolah rendah.

Menurutnya, kemenangan itu juga menjadi kejayaan pertama yang diraihnya sebagai johan dalam pertandingan pidato berkenaan selepas beberapa kali mengambil bahagian.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana kemenangan ini adalah kemenangan yang amat saya nanti-nantikan. Ini merupakan kemenangan pertama saya dalam pertandingan Pidato TYT kategori sekolah menengah.

“Saya mula bertapak dalam pertandingan pidato sejak darjah tiga dan insya-Allah, dengan kejayaan serta pengalaman yang ada, saya akan cuba sedaya upaya untuk terus dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Mengulas mengenai persediaannya, Awadah berkata beliau hanya mempunyai kira-kira dua minggu untuk membuat persiapan, selain perlu membahagikan masa antara latihan pidato dan pembelajaran.

“Bagi saya, perkara itu bukan mudah kerana saya mengikuti kelas aliran agama dan biasanya pulang pada jam 2.40 petang.

“Saya akan gunakan masa petang hingga hampir Maghrib untuk berlatih pidato, manakala waktu malam digunakan untuk mengulang kaji dan menyiapkan urusan persekolahan,” katanya.

Katanya, sokongan ibu bapa dan guru turut menjadi pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik di pentas pertandingan.

“Antara kata-kata yang selalu saya ingat daripada ibu bapa ialah, ‘Awadah, buat yang terbaik. Kalau buat yang terbaik, apa-apa keputusan pun kami terima. Kami sayang Awadah. Itulah yang saya pegang sehingga hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

590
Kongsi :
Previous post BULATAN SUNGAI BARU ULU, BERI MANFAAT KEPADA LEBIH 70,000 PENDUDUK
Next post PUSINGAN U BERTINGKAT JIMATKAN MASA PERJALANAN LEBIH 40 MINIT – KM