
MELAKA PANTAU PERKEMBANGAN JEREBU, TIMBANG PEMBENIHAN AWAN JIKA KEADAAN MAKIN TERUK
TANJUNG BIDARA 16 September – Kerajaan Negeri akan membincangkan langkah lanjut bagi menangani keadaan jerebu sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di negeri ini terus meningkat.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, antara perkara yang akan dibincangkan adalah keperluan mendapatkan bantuan Kerajaan Persekutuan termasuk berkaitan pelaksanaan pembenihan awan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan berhubung langkah berkenaan bergantung kepada perkembangan keadaan jerebu dan bacaan IPU semasa.
“Kalau hendak buat pembenihan awan, kosnya sangat tinggi. Jadi kita juga mohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita akan bincang bagaimana langkah-langkah yang Kerajaan Negeri akan ambil sekiranya bacaan semakin tinggi dan perkara itu akan diumumkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT Mini Karnival Semarak Perpaduan sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara yang dirasmikan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjug Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, keadaan jerebu sukar diramalkan kerana banyak dipengaruhi faktor cuaca termasuk hujan dan pergerakan angin yang boleh membawa jerebu dari kawasan lain ke Melaka.
“Kalau hujan, mungkin bacaan akan turun. Tetapi kalau lama tidak hujan bacaan kita (IPU) akan meningkat. Memang susah untuk kita baca keadaan ini,” katanya.
Hee Sem berkata, bacaan IPU ketika ini menunjukkan trend berbeza mengikut kawasan.
“Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan 152 hari ini berbanding 74 semalam, manakala Bukit Rambai meningkat kepada 163 berbanding 130 semalam manakala, Alor Gajah mencatatkan sedikit penurunan kepada 159 hari ini berbanding 164 semalam.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan berkenaan sebelum menentukan tindakan seterusnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


