ILMU PARAKOM JADI ‘BEKAL’ BANTU MANGSA LANGGAR LEMBU

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Belum sempat ‘sejuk’ ilmu dipelajari ketika menghadiri kursus Paramedik Komuniti (PARAKOM), seorang sukarelawan berpeluang mengaplikasikan kemahiran baharu dimilikinya itu dengan membantu penunggang motosikal yang cedera selepas melanggar lembu di Kampung Lendu, baru-baru ini.

Berkongsi kisahnya Muhammad Nur Hisham Zali, 34, terdahulu dia menilai keadaan mangsa melibatkan tahap tindak balas dan pernafasan sebelum memberikan bantuan awal sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perubatan.

“Selepas mengikuti kursus PARAKOM, itu adalah kes kecemasan pertama yang saya tangani. Sebagai individu mahu memberikan rawatan saya juga perlu tenang meskipun kecederaan mangsa agak serius kerana dia mengalami pendarahan di kepala.

“Alhamdulillah ilmu yang dipelajari sepanjang mengikuti kursus rawatan kecemasan sangat-sangat membantu, terutama bagi mengelakkan kecederaan yang dialami mangsa menjadi lebih serius.

“Apabila berlaku kecemasan kita tidak boleh hanya menunggu dan lihat sahaja, sekurang-kurangnya menggunakan dengan ilmu ini kita tahu tindakan awal yang perlu dilakukan,” katanya Kepada Melaka Hari Ini.

Penyelia Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Tabika KEMAS Melaka Tengah ini berkata, mereka yang menghadiri kursus bukan sekadar untuk mendapatkan sijil dan bergelar sukarelawan PARAKOM, tetapi kini menjadi barisan hadapan melindungi keluarga sendiri serta komuniti.

Berikutan itu dia berharap lebih ramai rakyat Melaka mengambil peluang mengikuti kursus PARAKOM kerana ilmunya amat mahal dan sangat berguna dalam kehidupan seharian.

“Saya juga amat menghargai usaha Kerajaan Negeri memperkasakan PARAKOM hingga ke peringkat komuniti, termasuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan latihan asas menghadapi situasi kecemasan. Kursus asas dan latihan paramedik ini wajar diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post ANAK MELAKA PERLU REBUT PELUANG BIASISWA PETRONAS
Next post WRUR TANJUNG BIDARA: MPAG KOMITED PASTIKAN PESISIR PANTAI BERSIH, TERJAGA