SIRIH JUNJUNG SEBAGAI ‘KEPALA ADAT’ LAMBANG KESOPANAN, ADAB ORANG MELAYU

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TANJUNG BIDARA 26 September – Sirih junjung bukan hanya sekadar untuk menterjemahkan kreativiti bermain dalam minta dengan menggubah daun sirih menjadi perhiasan menarik menerusi kemahiran tangan yang dimiliki.

Melihat daripada sudut lebih luas dalam budaya Melayu sirih junjung melambangkan adat resam, adab, penghormatan dan penyatuan dua keluarga apabila ianya melibatkan majlis pertunangan atau perkahwinan.

Malah sirih junjung bukan sekadar pelengkap majlis tetapi kerana keistimewaannya perhiasan itu diangkat sebagai ‘kepala adat’ yang diletakkan di barisan paling hadapan dulang hantaran.

Namun akibat kealpaan generasi sekarang yang lebih gemar menghabiskan masa bermain gajet, seni menggubah sirih junjung kian ketandusan pengganti dan jika berterusan tidak mustahil ianya akan hilang ditelan zaman.

Berikutan itu Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026, menjadi antara medan untuk memasyhurkan semula seni tradisi Melayu itu menerusi pertandingan menggubah sirih junjung.

WhatsApp Image 2026 09 23 at 3.00.03 PM
SHAARI (kanan) sedang menilai seni sirih junjung disiapkan peserta.

Yang Dipertua Persatuan Ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka, Sidang Shaari Abu berkata sirih junjung boleh diumpamakan sebagai pembuka kata dalam majlis-majlis utama orang Melayu.

“Sirih junjung ini adalah lambang penghormatan sebab itu kita ada tarian yang menggunakan sirih junjung, bukan untuk sekadar nampak cantik dan menarik tetapi tersirat lambang kita sebagai bangsa menghormati orang serta penuh kesopanan. Begitu juga apabila kita menyambut tetamu tidak kira peringkat antarabangsa, negara atau negeri sirih junjung mesti ada.

“Sebagai orang yang sayangkan warisan saya amat berharap jabatan atau agensi berkenaan menggandakan usaha untuk kita masyhurkan semula sirih junjung ini, janganlah sampai hilang ditelan arus pemodenan.

“Biarlah sirih junjung ini diumpamakan sebagai ‘Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’, adat dan budaya kita tidak pernah berubah serta tetap utuh sepanjang zaman,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2026 09 23 at 3.00.04 PM
KEMERIAHAN pertandingan menggubah sirih junjung

Shaari berkata, sirih itu sendiri sebenarnya adalah tumbuhan yang menghasilkan daun memiliki pelbagai khasiat daripada aspek kesihatan yang amat bermanfaat kepada manusia.

Jelasnya, berikutan itu orang Melayu dahulu kala amat sinonim dengan tradisi makan sirih pinang yang sebenarnya bukan sekadar habit tetapi diamalkan kerana manfaatnya.

“Jelas disini bahawa sirih junjung ini bukan sekadar alat melangbangkan kesopanan orang Melayu dalam berurusan tetapi nilainya amat besar. Berikutan itu amat penting untuk kita pertahankan dan meneruskan seni warisan ini.

“Alhamdulillah menerusi Pesta Pantai Tanjung Bidara, Kemas Daerah Alor Gajah melaksanakan inisiatif memperkenalkan semula sirih junjung menerusi pertandingan dianjurkan, usaha ini memang tepat pada masanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA RUANG BELIA KEMBANG POTENSI DALAM AKADEMIK, SUKAN