KAPAL EX-KD SRI TERENGGANU KINI BERWAJAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 25 September – Kapal Ex-KD Sri Terengganu di Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, kini berwajah baharu apabila kerja-kerja
mengecat semula yang dijalankan siap sepenuhnya.

Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Syahidah Abu Sah berkata, kerja-kerja mengecat kapal berkenaan disiapkan dengan kerjasama 30 orang sukarelawan daripada TLDM dan mengambil masa selama tiga hari.

Menurutnya, penampilan baharu kapal berkenaan dijangka memberi nilai tambah kepada Muzium Samudera khususnya dalam menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.

“Sebelum ini pergerakan pengunjung bagi bahagian dek atas Ex KD Sri Terengganu terpaksa dihadkan atas sebab-sebab keselamatan kerana cat lama yang terhakis, selain ada struktur badan kapal sudah berkarat.

“Selepas ini pengunjung akan dibenarkan untuk naik semula ke dek atas, namun jumlah pada satu-satu masa dikawal selepas mengambil kira faktor usia kapal ini yang dibina pada 1963.

“Ia akan menjadi satu pengalaman baharu kerana pengunjung memang berminat untuk naik ke dek atas dan menikmati suasana pemandangan sambil merakam gambar kenangan,” katanya.

Syahidah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kerja Bagi Kerja-Kerja Mengecat Kapal EX-KD Sri Terengganu yang turut di hadiri Asisten Ketua Staf Sekretariat Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Ismail Othman, di Muzium TLDM Banda Hilir, di sini, hari ini.

Katanya, sebelum dibuka semula pihaknya akan melakukan pemeriksaan pada bahagian dek, melakukan kerja-kerja pembaikan melibatkan tangga sisi bagi memastikan kapal bersejarah pernah berkhidmat mengawal samudera negara itu benar-benar selamat untuk dilawati pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT: AYAM RM5, BARANGAN MURAH DI PASAR BESAR MBMB
Next post MELAKA SEDIA RUANG BELIA KEMBANG POTENSI DALAM AKADEMIK, SUKAN