‘LANGIT YANG SAYA JUNJUNG IALAH KEDAULATAN KEGEMILANGAN KESULTANAN MELAYU MELAKA’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 26 September – Kedaulatan dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka menjadi asas perjuangan Kerajaan Negeri untuk mengembalikan Melaka sebagai sebuah negeri yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu berteraskan sejarah Melaka yang sejak dahulu menjadi tempat pertemuan pelbagai bangsa dan tamadun menerusi hubungan perdagangan, diplomasi serta perkahwinan diraja.

“Saya bercakap atas sifat saya berpijak di bumi Melaka. Langit yang saya junjung ialah kedaulatan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang kita bina semula untuk kita kembalikan supaya kita lebih gemilang daripada zaman yang telah lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional 3.0 ‘Membongkar Polemik Tanah Melayu’ yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pengalaman sejarah Melaka menunjukkan masyarakat daripada latar belakang berbeza mampu hidup dan membina hubungan bersama melalui perundingan, kebijaksanaan, toleransi serta kesediaan mencari titik pertemuan.

Katanya, kesan penjajahan Inggeris-Belanda selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang membahagikan lingkungan pengaruh kolonial di rantau ini turut meninggalkan kesan besar terhadap perkembangan politik, ekonomi dan sosial Tanah Melayu.

“Daripada pengalaman inilah lahir satu cabaran besar bagaimana masyarakat yang berbeza latar belakang tetapi mahu membina tanah air yang sama.

“Jawabnya datang perundingan, kebijaksanaan, toleransi, kesediaan mencari titik pertemuan,” katanya.

Menurut beliau, sejarah hubungan Melaka dengan masyarakat dari China dan India juga menunjukkan wujudnya hubungan yang panjang antara Kesultanan Melayu Melaka dengan pelbagai tamadun.

“Saya tidak berprasangka kepada kaum-kaum lain kerana dalam saya melihat sejarah Melaka, apabila Sultan Melaka menjalinkan hubungan dengan Maharaja Cina, hantar Hang Tuah, sehinggakan Maharaja Cina sanggup memberikan hubungan baik dengan Melaka mengawinkan anaknya Hang Li Po dan Sultan Mansur Shah.

“Menunjukkan berapa lama dah sudah sejarah hubungan antara tanah besar Cina dengan Melaka,” katanya.

Ab Rauf berkata, sejarah hubungan tersebut turut dapat dilihat menerusi penempatan pedagang asing di Melaka, termasuk pedagang dari China di Bukit Cina dan pedagang dari India di Tanjung Kling.

Beliau berkata, sejarah berkenaan perlu difahami sebagai sebahagian daripada perjalanan panjang Melaka dalam membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai hubungan dengan pelbagai bangsa dan tamadun, tanpa menghilangkan akar identiti serta kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post PERLEMBAGAAN TIDAK BOLEH DIBACA SECARA ‘À LA CARTE’