MELAKA PENTAS SEJARAH, PERADABAN DUNIA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 26 September – Melaka mungkin kecil pada peta, namun mempunyai kedudukan besar dalam lembaran sejarah dunia, khususnya dalam perkembangan Tanah Melayu, Alam Melayu, perdagangan, diplomasi, bahasa, undang-undang dan pemerintahan Melayu yang tersusun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kedudukan bersejarah itu menjadikan Melaka lokasi yang amat bermakna untuk menjadi pentas perbincangan mengenai sejarah, peradaban, identiti dan tanah air yang diwarisi bersama.

“Ini kerana apabila kita berbicara sahaja tentang Tanah Melayu, Alam Melayu, perdagangan dunia, diplomasi, bahasa, undang-undang dan pemerintahan Melayu yang tersusun, nama Melaka pasti akan muncul.

“Inilah bumi yang kecil pada peta, tetapi besar pada lembaran sejarah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional 3.0 ‘Membongkar Polemik Tanah Melayu’ yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka amat mengalu-alukan penganjuran forum berkenaan yang menampilkan panel, ilmuwan dan cendekiawan berkaitan sejarah dan ilmu kenegeraan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kerana Melaka dipilih sebagai pentas bagi membicarakan isu berkaitan sejarah dan peradaban yang menjadi sebahagian daripada akar pembentukan negara.

“Terima kasih kerana memilih Melaka sebagai pentas untuk berbicara tentang sejarah, peradaban, identiti dan tanah air yang kita warisi bersama,” katanya.

Menurut Ab Rauf, sejarah Melaka yang berkait rapat dengan perkembangan Alam Melayu menjadikan negeri itu bukan sekadar lokasi penganjuran program, sebaliknya mempunyai nilai simbolik tersendiri dalam usaha memahami akar sejarah dan pembentukan identiti negara.

Pada masa sama, beliau juga bercadang untuk menganjurkan forum bersama Majlis Persatuan Sejarah bagi membongkae pelbagai perkara bertujuan meluruskan semula sejarah yang telah dibengkokkan penjajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post VATICAN CITY SIMPAN RAHSIA SEJARAH HANG TUAH