KERAJAAN SEMENTARA BUKAN ALASAN PERLAHANKAN LANGKAH LAKSANAKAN AMANAH RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PENGKALAN BATU 27 September – Meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara rasmi 23 September lalu, tidak bermakna penyampaian perkhidmatan kepada rakyat turut berakhir, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, tidak ada istilah memperlahankan langkah hanya kerana DUN telah dibubarkan, sebaliknya komitmen dan amanah terhadap rakyat tetap diteruskan.

Katanya, urusan rakyat tetap berjalan, kebajikan rakyat perlu terus dijaga dan ekonomi rakyat juga mesti digerakkan.

“Benar, hari ini kita berada dalam tempoh Kerajaan Sementara. Ada batas dan tatakelola yang perlu dihormati. Tetapi dalam ruang tanggungjawab yang ada, pentadbiran mesti terus berfungsi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat mesti diutamakan.

“Kehidupan rakyat tidak pernah berhenti hanya kerana kita sedang melalui satu tempoh peralihan. Peniaga terus mencari rezeki, ibu bapa tetap menyediakan keperluan keluarga, anak-anak harus bersekolah,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jualan Melaka Sayang Rakyat Sempena Program Melaka Bila Larut Malam Tahun 2026 di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata,  rakyat tetap memerlukan perkhidmatan kerajaan setiap hari, berikutan itu program dirancang mesti diteruskan dan urusan dimulakan hendaklah disempurnakan.

“Perkhidmatan diperlukan rakyat kita pastikan terus berjalan. Malah, Jualan Melaka Sayang Rakyat menjadi bukti, kita masih turun mendengar serta mencari ruang untuk membantu dalam batas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kerana bagi saya, yang sementara hanyalah tempoh pentadbiran, amanah kepada rakyat
tidak pernah bersifat sementara. Selagi tanggungjawab masih dipikul, kita jalankan, selagi khidmat masih diperlukan, kita teruskan untuk bant rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post IKHTIAR TOK RAUF BANTU PENIAGA PASAR BESAR BACHANG KEMBALI TERSENYUM