
MESRA KERAJAAN TEMPATAN: 3,882 PETAK PARKIR PERCUMA DI JASIN
AYER KEROH 4 Oktober – Pendekatan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kerajaan Tempatan bukan sahaja merangkumi usaha berterusan meningkatkan kemudahan untuk rakyat, malah turut melibatkan penyediaan parkir percuma yang mendorong kepada pengurangan kos ketika berurusan serta menjadi pemangkin kepada pertubuhan aktiviti perniagaan setempat.
Menerusi pendekatan itu, kemudahan parkir percuma diperkenalkan bagi memberi lebih keselesaan kepada penduduk dan pengunjung, selain mewujudkan persekitaran komersial lebih mesra pengguna serta menyokong aktiviti perniagaan setempat.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, sebanyak 3,882 petak parkir dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terlibat dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM167,702.40.
Katanya, pelaksanaan parkir percuma memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dan pengunjung dengan mengurangkan kos sampingan ketika berurusan, membeli-belah atau mendapatkan perkhidmatan di kawasan terlibat.
“Kemudahan itu turut memberi manfaat kepada peniaga kerana pengguna tidak perlu menanggung bayaran parkir sepanjang tempoh yang ditetapkan.
“Bagi peniaga, kemudahan ini turut berpotensi menggalakkan orang ramai berkunjung ke kawasan komersial kerana pengguna tidak perlu menanggung bayaran parkir sepanjang tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, secara tidak langsung inisiatif berkenaan dapat mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mesra pengguna serta menyokong aktiviti perniagaan setempat.
“Setakat ini MPJ belum mempunyai data khusus yang membolehkan perbandingan kuantitatif jumlah kunjungan atau nilai aktiviti ekonomi dibuat sebelum dan selepas pelaksanaan parkir percuma.
“Bagaimanapun, rekod transaksi parkir, trafik pengunjung atau data berkaitan daripada jabatan terlibat boleh digunakan pada masa hadapan bagi mengukur impak pelaksanaan inisiatif itu dengan lebih tepat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


