MELAKA TEROKA PELANCONGAN SUKAN, SASAR ACARA BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 3 Oktober – Melaka sedang meneroka pelancongan sukan sebagai produk baharu bagi menarik lebih ramai pelancong menerusi penganjuran acara sukan bertaraf dunia di negeri ini pada masa depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara bidang yang sedang diteliti dan dikaji dalam merancang pembangunan sektor pelancongan Melaka bagi tahun depan.

“Antara yang kita sedang meneliti dan mengkaji ialah sektor sukan pelancongan ini, yang mana sukan-sukan bertaraf dunia akan diminta untuk diadakan di negeri Melaka.

“Dari segi kemudahan, Melaka sentiasa bersedia memanfaatkan apa juga peluang yang diberikan untuk menjadi penganjur utama acara sukan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketujuh dari Melaka ke Batu Pahat, Johor, di Dataran Memorial Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, penganjuran LTdL di Melaka turut menunjukkan minat orang ramai dan pelancong terhadap acara sukan, sekali gus membuka ruang untuk sukan dijadikan antara tarikan baharu pelancongan negeri.

Menurutnya, selain sukan berbasikal, sukan pemotoran juga berpotensi diketengahkan sebagai antara ikon baharu bagi menarik pelancong yang mempunyai minat dalam bidang berkenaan.

“Jadi kita boleh lihat bukan sahaja sukan basikal, sukan pemotoran juga akan dijadikan sebagai ikon kepada daya tarikan baharu pelancong sukan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata Melaka turut berharap dapat melahirkan tokoh-tokoh sukan terbaik bertaraf dunia dari negeri itu bagi mengangkat martabat Melaka di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata usaha berkenaan dapat melengkapkan identiti Melaka sebagai negeri bersejarah yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

583
Kongsi :
Previous post MELAKA ‘MESRA’ KESIHATAN RAKYAT
Next post 11.2 JUTA PELANCONG KE MELAKA SETAKAT OGOS, JANA EKONOMI RM11.32 BILION