
DUN AYER LIMAU: LEBIH RM1 JUTA NAIK TARAF JALAN, LONGKANG
AYER LIMAU 5 Oktober – Lebih RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menaik taraf jalan, longkang dan kemudahan awam di hampir semua kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, peruntukan berkenaan membabitkan beberapa projek yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.
Jelas beliau, daripada KKDW, hampir RM400,000 diperuntukkan bagi menaik taraf jalan kampung dan lorong di empat buah kampung iaitu Kampung Bukit Api, Kampung Ayer Limau, Ramuan China Besar dan Kampung Paya Rumput.
“Surat Setuju Terima (SST) bagi projek ini sudah dikeluarkan dan kerja-kerja menurap jalan akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kementerian Ekonomi turut meluluskan RM200,000 bagi kerja menaik taraf jalan di Kampung Lekok, sekali gus menambah baik akses perhubungan penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memperuntukkan kira-kira RM200,000 bagi kerja berkaitan longkang di Kampung Sungai Siput.
Selain itu, Hameed berkata, persimpangan berhampiran Petron Taman Bandar Baru Masjid Tanah turut dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM400,000 bagi membantu melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Katanya, kerja berkenaan membabitkan penambahan satu lagi lorong susur di persimpangan itu bagi meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan kira-kira RM300,000 bagi projek infrastruktur yang meliputi kerja membaik pulih balai raya serta longkang di beberapa lokasi.
Hameed berkata, pelaksanaan pelbagai projek berkenaan membuktikan keutamaan diberikan terhadap keperluan asas penduduk, khususnya aspek jalan raya, sistem perparitan dan kemudahan awam.
“Peruntukan ini melibatkan hampir semua kampung dalam DUN Ayer Limau dan kita akan pastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan bagi memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


