‘INGAT DOKTOR GIGI, INGAT TULEN DENTAL’

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat

KESIDANG 9 Oktober – ‘Ingat hari jadi, ingat doktor gigi’ menjadi pesanan Klinik Pergigian Tulen atau Tulen Dental kepada orang ramai supaya menjadikan pemeriksaan pergigian sebagai rutin tahunan dan bukan hanya apabila berdepan masalah gigi.

Klinik Pergigian Tulen di bawah Bloom Healthcare yang telah beroperasi kira-kira 10 bulan lalu di dua lokasi iaitu Batu Berendam dan Taman Lagenda, Melaka menawarkan pelbagai perkhidmatan pergigian termasuk pemeriksaan, scaling, tampalan, cabutan gigi, cabutan gigi kanak-kanak, pembuatan gigi palsu, braces serta clear aligner dan pelbagai rawatan lain.

Doktor Gigi Klinik Pergigian Tulen Batu Berendam, Dr. Ulfa Nadira Abd Latif berkata, antara keistimewaan klinik berkenaan ialah menawarkan konsultasi percuma kepada pesakit yang pertama kali mendapatkan rawatan, selain penerangan jelas mengenai keadaan gigi serta pilihan rawatan yang bersesuaian.

Katanya, pendekatan berkenaan diambil bagi memastikan pesakit memahami keadaan kesihatan pergigian mereka sebelum membuat keputusan mendapatkan sebarang rawatan.

“Ramai pesakit datang dengan rasa takut atau nervous, terutama mereka yang sudah lama tidak berjumpa doktor gigi. Jadi, kita akan berbincang terlebih dahulu dan menerangkan keadaan gigi mereka, yang mana di sini konsultasi adalah percuma untuk pesakit yang baharu berdaftar.

“Selain itu, Tulen Dental juga menggunakan teknologi terkini seperti kamera dan mesin berkomputer untuk menunjukkan keadaan sebenar dalam mulut pesakit supaya mereka dapat melihat sendiri masalah yang berlaku dan memahami mengapa rawatan tertentu diperlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Dr. Ulfa Nadira berkata, Tulen Dental turut mengamalkan pendekatan “step-by-step” dengan tidak memaksa pesakit menjalani semua rawatan dalam satu-satu masa, khususnya bagi mereka yang mempunyai tahap kebimbangan tinggi terhadap rawatan pergigian.

“Di sini juga, sekiranya pesakit datang dengan banyak gigi yang bermasalah, kita tidak akan terus paksa untuk buat semua rawatan.

“Kita akan mulakan dengan rawatan yang membuatkan mereka selesa dahulu sebelum bergerak kepada rawatan yang lebih kompleks,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Ulfa Nadira berkata, rawatan pendakap gigi atau braces antara perkhidmatan yang mendapat permintaan menggalakkan di Tulen Dental dengan harga promosi bermula RM3,899, bergantung kepada keadaan gigi dan jenis rawatan yang diperlukan.

Tambahnya, selain pendakap gigi konvensional, Tulen Dental turut menawarkan clear aligner sebagai pilihan kepada pesakit yang mahukan rawatan lebih estetik tanpa penggunaan pendakap logam yang ketara pada gigi.

Mengulas kepentingan pemeriksaan berkala, beliau berkata, ketiadaan rasa sakit tidak semestinya menunjukkan seseorang mempunyai gigi yang sihat kerana sesetengah masalah pergigian hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan profesional.

“Suka untuk saya sarankan kepada semua, setiap kali kita ingat hari jadi kita, ingat juga bila kali terakhir kita berjumpa doktor gigi. Sekurang-kurangnya setahun sekali kita perlu buat pemeriksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Ulfa Nadira berkata, Tulen Dental turut memberi perhatian kepada akses penjagaan pergigian untuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan B40, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerusi kemudahan rawatan pada kadar istimewa bagi pemegang Kad Rahmah Bloom Mekar.

“Untuk pemegang kad ini, yang layak boleh mendapatkan rawatan tertentu seperti scaling dan tampalan pada kadar RM80, tertakluk kepada terma serta pemeriksaan keadaan gigi oleh doktor gigi anda,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan Tulen Dental boleh membuat janji temu menerusi WhatsApp serta platform media sosial klinik termasuk Facebook, Instagram dan TikTok, manakala perkhidmatan walk-in turut diterima terutama bagi kes kecemasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post JEREBU: SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA MELAKA DITANGGUHKAN
Next post KPDN MELAKA BONGKAR TAKTIK BAHARU, RUMAH JADI ‘PORT’ SELEWENG MINYAK