
MeSRa TVET: MELAKA BINA BAKAT UNTUK INDUSTRI MASA DEPAN
AYER KEROH 10 Oktober – Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran, kerjasama industri dan latihan berorientasikan pekerjaan bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran semasa.
Usaha itu turut diperkasa menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pembangunan TVET, yang menyaksikan penubuhan Pusat Kecemerlangan TVET (Melaka TVET Centre of Excellence).
Sepanjang tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, agenda berkenaan terus diberi penekanan bagi memastikan pembangunan TVET bukan sekadar menyediakan kemahiran, malah membuka laluan kerjaya kepada generasi muda Melaka.
TVET SEIRING KEPERLUAN INDUSTRI
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan ekosistem TVET memerlukan kesepakatan empat kluster utama iaitu industri, institusi, pendidikan dan mahasiswa bagi memastikan hala tuju pendidikan kemahiran sentiasa selari dengan keperluan industri.
Justeru, sebuah konvensyen bertemakan ‘Memacu Industri, Mencipta Kerjaya Masa Hadapan’ telah diadakan pada 10 Julai lalu telah mencapai satu kesepakatan yang diterjemahkan dalam lima resolusi utama.
“Resolusi ini ialah mengangkat TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya berprestij serta berdaya saing, memacu transformasi TVET berteraskan industri, melahirkan modal insan berkemahiran tinggi menguasai teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Selain pendigitalan dan kemahiran insaniah serta jaminan kebolehpasaran graduan dan kesejahteraan mahasiswa melalui pembangunan kerjaya, keusahawanan, jaringan industri serta penyediaan persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan inklusif,” katanya.
PELUANG KERJAYA DIHUBUNGKAN DENGAN LATIHAN
Hubungan rapat antara latihan kemahiran dengan keperluan industri turut diterjemahkan menerusi penganjuran Karnival TVET Negeri Melaka 2026 yang merekodkan kehadiran 13,471 pengunjung.
Karnival berkenaan turut membuka peluang kepada pencari kerja apabila sebanyak 2,232 jawatan kosong ditawarkan oleh 32 majikan menerusi jalinan kerjasama dengan 408 rakan industri daripada 18 sektor utama.
Keberkesanan pendekatan latihan berorientasikan pekerjaan itu turut dapat dilihat menerusi Kursus Kompetensi Basic Scaffolding apabila kesemua 30 peserta yang menamatkan latihan berkenaan menerima tawaran pekerjaan.
PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KEMBALI KEPADA RAKYAT
Selain memberi tumpuan kepada kebolehpasaran, kemahiran yang dipelajari turut dimanfaatkan untuk membantu komuniti menerusi program CSR TVET – Melaka Sayang Rakyat.
Program berkenaan membabitkan peruntukan RM510,700 di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih, dengan pelatih kemahiran turun memberikan khidmat kepada komuniti.
Antara kerja yang dilaksanakan termasuk pertukaran minyak hitam, pembersihan karpet dan penukaran kipas di surau serta pemasangan lampu solar di kawasan perkuburan.
Ekosistem TVET Melaka turut diselaraskan di bawah Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Secara keseluruhannya, pendekatan itu memperlihatkan pembangunan TVET Melaka yang menghubungkan latihan kemahiran dengan industri, peluang pekerjaan dan khidmat kepada masyarakat, selaras dengan keperluan melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan masa depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


