
BMS 2026: PTPTN MELAKA SEMAI BUDAYA TABUNGAN PENDIDIKAN SEJAK KECIL
BANDA HILIR 14 Oktober – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh budaya menabung untuk pendidikan menerusi penganjuran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026, sekali gus menggalakkan ibu bapa merancang keperluan pendidikan anak sejak awal.
BMS 2026 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Mahkota Parade, 3 Oktober lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat khususnya kanak-kanak Tabika, prasekolah, murid sekolah rendah serta keluarga.
Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman berkata, program berkenaan merupakan antara usaha PTPTN mempromosikan Simpan SSPN sebagai pilihan simpanan pendidikan selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan.
“Antara tarikan utama program ialah Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam Simpan SSPN dan Pertandingan Simpan SSPN Got Talent yang memberi peluang kepada kanak-kanak mengetengahkan kreativiti serta bakat masing-masing.
“Selain aktiviti hiburan dan pertandingan, BMS 2026 turut menjadi platform PTPTN mendekati masyarakat secara langsung bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menyediakan simpanan pendidikan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, PTPTN turut menggalakkan rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun Simpan SSPN bagi setiap keluarga sebagai langkah membudayakan amalan menabung secara konsisten untuk keperluan pendidikan.

BMS diperkenalkan PTPTN sejak 2018 dan ia kini memasuki tahun kesembilan penganjurannya sempena sambutan Hari Tabungan Sedunia.
BMS 2026 membawa tema ‘Under the Sea’ dengan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda!’ yang diterjemahkan menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan santai untuk menarik penyertaan kanak-kanak serta keluarga.
Program berkenaan turut disertai Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Raya yang menyediakan perkhidmatan serta perkongsian maklumat berkaitan simpanan, perancangan kewangan dan pengurusan masa depan keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


