
PELABURAN RM28.96 BILION BERPOTENSI WUJUDKAN 25,100 PEKERJAAN DI MELAKA – TPM
RIM 3 November – Pelaburan berjumlah RM28.96 bilion yang direkodkan Melaka sepanjang 2023 hingga 2025 berpotensi mewujudkan 25,100 peluang pekerjaan menerusi pelaksanaan 752 projek di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu perlu disusuli persediaan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Beliau berkata, pembangunan industri seperti Elkay 2.0, German Technology Park (GTP) dan Melaka Halal Hub 2.0 turut membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memerlukan tenaga kerja dengan kepakaran khusus.
“Industri berteknologi tinggi memerlukan kepakaran dalam bidang elektronik dan automasi, manakala industri halal pula memerlukan kemahiran pemprosesan makanan, kawalan mutu serta pengurusan rantaian bekalan.
“Setiap pelaburan ini membawa keperluan tenaga kerja yang berbeza. Di sinilah institusi pendidikan dan TVET mesti bergerak seiring dengan hala tuju pembangunan Melaka.
“Saya mahu MARA menjadi peneraju bersama institusi latihan dan pemain industri mengenal pasti keperluan ini lebih awal, menyusun latihan, menyediakan pendedahan industri dan membina laluan pengambilan graduan sebelum operasi bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026 Negeri Melaka di Dewan MPJ Alamanda Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah MARA Ir. Dr. Mahzan Teh dan kenamaan lain.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, anak tempatan perlu dilengkapkan dengan ilmu serta kepakaran supaya berupaya merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan menerusi kemasukan pelaburan baharu.
“Kemajuan negeri mesti membuka ruang untuk anak-anak Melaka membina kehidupan yang lebih baik di tanah kelahiran sendiri.
“Jadi, kita mesti menyediakan laluan terbaik untuk mereka. ‘We must guide them according to their interests and abilities’ serta membuka peluang kerjaya yang menghargai kepakaran mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


