
PRN MELAKA: KEPIMPINAN PAS IKRAR SOKONGAN PENUH BUAT CALON BN REMBIA
REMBIA 3 November – Hubungan baik yang terjalin sejak era Muafakat Nasional (MN) menjadi asas kepada sokongan kepimpinan PAS terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail berkata, hubungan antara kedua-dua parti di peringkat akar umbi kekal harmoni, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama dalam membantu kempen calon berkenaan.
Menurutnya, Ahmad Norazril merupakan seorang pemimpin yang merendah diri dan dikenali ramai, selain hubungan baik mereka telah terjalin sejak awal pembentukan gagasan MN.
“Azril yang saya kenal memang seorang yang ‘humble’. Kita daripada PAS insya-Allah akan sentiasa membantu apa-apa yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Bersama BN dan PAS N.06 Rembia di Padang Bola Sepak Taman Kebaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajidi Dusuki; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail; Naib Yang Dipertua PAS Alor Gajah, Shamsul Bahrin Mohd Saad serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Alor Gajah, Shamsul Bahrin Mohd Saad berkata, penerimaan akar umbi terhadap kerjasama antara jentera Perikatan Nasional (PN) dan BN juga dilihat positif kerana mereka memahami matlamat lebih besar yang ingin dicapai menerusi penyatuan berkenaan.
Katanya, tiada isu dalaman yang timbul di peringkat akar umbi memandangkan segala ketetapan berkaitan kerjasama itu telah diselesaikan di peringkat pusat dan jentera hanya perlu mematuhi arahan yang ditetapkan.
“Tak ada isu dalaman sebab kita di peringkat pusat dia orang dah selesaikan, jadi ke bawah ini dia hanya bawa arahan,” katanya.
Beliau berkata, perlawanan persahabatan bola sepak itu turut mencapai objektifnya untuk merapatkan hubungan dan memberi peluang kepada jentera kedua-dua parti mengenali antara satu sama lain.
Malah, program berkenaan juga dilihat sebagai platform untuk memperlihatkan kepada masyarakat kerjasama yang terjalin antara jentera BN dan PN di peringkat akar umbi.
Katanya, kepimpinan kedua-dua pihak di peringkat negeri turut mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa bagi membincangkan serta menyelesaikan sebarang isu berbangkit supaya tidak menjejaskan kelancaran gerak kerja kempen.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

