PRN MELAKA: BN-PN TAWAR 113 INISIATIF BERPAKSIKAN 6 TERAS UTAMA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 6 November – Sebanyak 113 inisiatif merangkumi enam teras utama ditawarkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Melaka menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dengan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta kesejahteraan kehidupan keluarga.

Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto berkenaan dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan rakyat merangkumi aspek kos sara hidup, pendapatan, perumahan, pendidikan, pembangunan ekonomi dan masa depan anak muda.

Menurutnya, setiap tawaran disusun mengikut tiga tempoh pelaksanaan iaitu 100 hari, satu tahun dan lima tahun berdasarkan skop serta keperluan setiap inisiatif.

“Manifesto ini bukan sekadar senarai janji, sebaliknya merupakan komitmen untuk memastikan setiap inisiatif yang ditawarkan mempunyai hala tuju dan tempoh pelaksanaan yang jelas.

“Apa yang penting, kita memberikan perhatian kepada perkara paling dekat dengan kehidupan rakyat khususnya kos sara hidup, pendapatan, tempat tinggal dan masa depan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Ab Rauf berkata, pendekatan mengikut tiga fasa pelaksanaan itu membolehkan setiap inisiatif dilaksanakan secara lebih terancang dengan mengambil kira keutamaan serta kemampuan pelaksanaan.

Katanya, tawaran berkenaan turut mencerminkan komitmen gabungan BN-PN untuk memastikan pembangunan negeri bergerak seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat, bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata.

“Matlamat kita jelas, pembangunan yang dilaksanakan mesti dirasai rakyat. Kita mahu setiap keluarga mempunyai peluang kehidupan lebih baik, anak muda mempunyai masa depan lebih terjamin dan rakyat menikmati kesejahteraan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, manifesto itu turut memberi penekanan kepada kesinambungan pembangunan Melaka menerusi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang demi memastikan negeri terus berkembang serta kekal berdaya saing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post MELAKA NEGERI MAJU, PERLU DISOKONG INFRASTRUKTUR TENAGA TERBAIK
Next post MANIFESTO BN-PN: JUALAN MESRA TAWAR AYAM, DAGING MURAH