PRN MELAKA: BN-PN TAWAR PENTADBIRAN LEBIH DEKAT DENGAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 6 November – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan diteruskan di kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen itu merupakan antara usaha memastikan pentadbiran negeri terus dekat dengan rakyat serta memberi perhatian kepada permasalahan yang dihadapi masyarakat di setiap kawasan.

Menurutnya, BN dan PN turut menawarkan usaha memperkukuh Program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT), sistem aduan rakyat serta pendigitalan perkhidmatan kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih teratur dan berkesan.

“Kita komited untuk meneruskan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di kesemua 28 DUN, selain memperkukuh Program HEBAT, sistem aduan rakyat dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap permasalahan rakyat mendapat perhatian dan tindakan susulan yang lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Ab Rauf berkata, usaha memperkukuh saluran aduan dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan juga penting bagi memastikan maklum balas rakyat dapat diuruskan dengan lebih sistematik serta memudahkan urusan masyarakat berhubung agensi kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN TAWAR LATIHAN AI, IOT DAN GERAN USAHAWAN MUDA
Next post PRN MELAKA: KEBAJIKAN RAKYAT SEPANJANG HAYAT JADI KEUTAMAAN BN-PN