HIDUPKAN SEMULA PROJEK TERTANGGUH JADI KEUTAMAAN ACIK ZUL

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 20 November – Menghidupkan semula projek pembangunan yang tertangguh serta mengusahakan kelulusan segera bagi pelaksanaannya menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin atau lebih dikenali sebagai Acik Zul dalam Misi 100 Hari pertamanya.

Beliau berkata, penelitian semula terhadap projek yang masih belum mendapat kelulusan perlu dilakukan bagi memastikan perancangan pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan dan tidak terus tertangguh.

Menurutnya, setiap projek akan diteliti dari segi status serta keperluan pelaksanaannya sebelum usaha mendapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan dipergiatkan.

“Saya akan menyemak semula dan meneliti projek-projek yang masih belum mendapat kelulusan.

“Insya-Allah, saya akan cuba mendapatkan kelulusan dengan segera supaya pembangunan di DUN Taboh Naning dapat dilaksanakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Melaka di Bilik Tun Mutahir, Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, penambahbaikan infrastruktur khususnya kemudahan jalan raya turut menjadi agenda penting yang akan diberikan perhatian sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, usaha menaik taraf jalan raya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu diteliti bagi memastikan kemudahan itu dapat ditambah baik mengikut keperluan penduduk.

“Dari segi infrastruktur, jalan raya termasuk jalan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut menjadi agenda pembangunan yang akan saya usahakan untuk DUN Taboh Naning. Insya-Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Berbekalkan pengalaman selama lima tahun menguruskan komuniti di Taboh Naning sebelum ini, beliau berharap dapat meneruskan usaha menyantuni penduduk serta memastikan isu dan keperluan setempat diberi perhatian dalam perancangan pembangunan kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
Kongsi :
Previous post JKM MELAKA BUKA TIGA PPS TEMPATKAN 38 MANGSA BANJIR
Next post EMPAT KAMPUNG DI KUALA LINGGI TERJEJAS BANJIR