Polis bongkar aktiviti proses, edar dadah di rumah sewa

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

IPOH, 16 Feb – Polis berjaya membongkar aktiviti memproses dan mengedar dadah di sebuah rumah sewa di Meru di sini, susulan penahanan enam individu di Perak dan Negeri Sembilan dalam siri serbuan pada Ahad dan Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata keenam-enam suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun itu, ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar dua negeri itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perak.

Beliau berkata sindiket tersebut dipercayai telah menggunakan rumah teres dua tingkat itu sebagai makmal pemprosesan dadah sejak pertengahan tahun lepas.

“Pihak polis merampas dadah disyaki jenis heroin yang dianggarkan seberat 9.4 kilogram (kg) dan syabu seberat 1.1 kg, bernilai kira-kira RM167,268.

“Turut dirampas dalam operasi ini adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Menurutnya jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 52,800 orang penagih dadah.

Beliau berkata polis turut menyita lima kenderaan dan dua barang kemas bernilai RM181,500, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM348,768.

Mior Faridalathrash berkata saringan awal mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis ganja dan candu serta kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, mereka kini direman selama enam hari bermula Isnin lepas sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post TYT tinjau kerja pembaikan bas elektrik Panorama Melaka
Next post Dakwaan polis ‘tutup mata’ kes judi, pelacuran, satu fitnah – Ketua Polis Perak
Ubah saiz-+=