‘Meja perpaduan’ erat silaturahim warga Telok Mas

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TELOK MAS 29 April – Meja perpaduan yang disediakan di Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menjadi tarikan apabila menghimpunkan masyarakat berbilang bangsa yang terdapat di Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, meja itu sebagai simbolik menunjukkan keharmonian penduduk di negeri ini yang bersama-sama meraikan sesebuah perayaan.

“Rumah terbuka ini bukan hanya membabitkan masyarakat beragama Islam malah kita turut menjemput semua, tidak kira bangsa. Pendek kata kita alukan berbilang bangsa kita raikan.

“Selain itu ada juga meja perpaduan yang kita khaskan di mana meja itu ada masyarakat Portugis, kaum India, Cina, Melayu serta Baba Nyonya,” katanya.

Beliau yang ditemani isteri Datin Sri Wangi Sujud ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Telok Mas, di sini, malam tadi.

Turut hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

IMG_20230428_233257_501
TUN Mohd Ali bersama Ab Rauf memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Telok Mas. Foto: MR. AZLI

Bersama-sama meluangkan masa hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka dan juga ketua-ketua agensi Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, kira-kira 8,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, hadir pada majlis rumah terbuka itu.

“Tahun ini kita lihat sambutan lebih ramai berbanding tahun lepas dan malam ini kita siapkan makanan untuk 8,000 tetamu.

“Sebanyak 21 gerai makanan termasuk minuman dengan 15 hidangan utama antaranya lemang, ketupat disediakan untuk tetamu menjamu selera,” katanya.

Terdahulu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi otai tanah air, Datuk Nash dan Datuk Hattan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post 25,000 dijangka hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka, esok
Next post Raya muhibah di Klebang
Ubah saiz-+=