Aaron Chia, Sydney Olahragawan Olahragawati Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 19 November – Pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong dan atlet wushu wanita Sydney Chin Sy Xuan masing-masing dinobatkan Olahragawan serta Olahragawati Melaka 2021/2022 pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka kali Ke-38, berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini

Aaron Chia, menewaskan tiga lagi atlet kebangsaan iaitu Tan Zhi Yan, 22, (wushu), Jonathan Wong Guanjie,30, (menembak) dan Juwaidi Mazuki, 32, (memanah) serta atlet muay Thai, Wan Muhammad Sabri Wan Mohd Zuki, 20.

Anak jati Batu Berendam berusia 25 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah utama berkenaan berdasarkan kejayaan dan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa antaranya memenangi gangsa pada Olimpik Tokyo 2020, pingat emas Kejohanan Dunia 2022 Jepun, pingat gangsa dan emas di Sukan Komanwel 2022 Birmingham.

Sementara itu Sydney dipilih sebagai penerima anugerah utama itu atas kejayaan beliau merangkul pingat gangsa pada Sukan Sea Hanoi 2021 dalam acara ‘taijiquan’ menewaskan dua pencalonan lain iaitu atlet wushu, Tammy Tan Hui Ling, 22, dan pemain badminton Toh Ee Wei, 23.

Kedua-dua penerima anugerah tertinggi itu menerima piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan menerusi wakil masing-masing yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sambil diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Belia, Sukan dan (NGO) negeri, VP Shanmugam; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Dalam pada itu, Aaron Chia turut menerima hadiah insentif wang tunai keseluruhan sebanyak RM23,000 selepas memenangi dua pingat gangsa dalam kejohanan Badminton Dunia Copenhagen, Denmark dan Temasya Sukan Asia 2023, Hangzhou China baru-baru ini.

Turut menerima insentif kemenangan Temasya Sukan Asia 2023 ialah atlet wushu Tan Cheong Min yang memenangi pingat perak sebanyak RM25,000 dan Juwaidi yang memenangi gangsa dalam acara memanah sebanyak RM15,000.

Manakala atlet berbasikal, Muhammad Hafiq Mohd Jafri,18, dan atlet angkat berat Nurul Syasya Khairina Syamsur, 14, pula masing masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Negeri Melaka.

Sebanyak sembilan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka yang telah disenaraikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka bagi menghargai pencapaian penggiat sukan termasuk pasukan terbaik yang dirangkul pasukan Hoki Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3961
Kongsi :
Previous post Lelaki cedera tangan tersepit pada mesin proses ayam
Next post Piala Emas Khir Johari 2024 tampil kelainan – PSM
Ubah saiz-+=