Piala Emas Khir Johari 2024 tampil kelainan – PSM

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DUYONG 20 November – Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari penghujung Januari 2024 nanti bakal menampilkan kelainan dengan mempertandingkan acara regu pemain berusia bawah 21 tahun.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, kejohanan sepak takraw tertua di dunia itu pernah menjadi acara berprestij suatu masa dahulu.

“Kita cuba buat penambahbaikan tahun hadapan, sudah pasti ia lebih menarik kerana ada kelainan yang melibatkan pemain bawah 21 tahun bagi acara regu.

“Kita sudah maklum lebih awal kepada semua negeri untuk buat persiapan, saya kira ia lebih menarik kerana ada elemen pembangunan dengan pemain-pemain muda yang akan beraksi untuk melengkapkan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian hadiah Perlawanan Akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, semalam.

Penyampaian hadiah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Terdahulu Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Tambahnya, penganjuran kejohanan bagi merebut piala berprestij itu bagaimanapun tidak akan melibatkan pemain import.

“Piala Emas Khir Johari tiada jemputan antarabangsa dan pemain import, 100 peratus adalah pemain Malaysia dan kita akan adakan di Stadium Alor Setar, Kedah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2004
Kongsi :
Previous post Aaron Chia, Sydney Olahragawan Olahragawati Melaka
Next post Perak juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2023
Ubah saiz-+=